MARTS kendali net khas sempena HAWANA 2022

Dagang News
Mei 27, 2022 23:59 MYT
Net Khas ini akan bersiaran pukul 10.30 pagi pada Ahad ini menerusi rangkaian pengulang di seluruh negara dan dipancarkan ke seluruh dunia menerusi aplikasi Echolink. -Dagang News
MELAKA: Malaysia Amateur Radio Transmitter's Society (MARTS) akan mengendalikan net khas sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 pada Ahad ini.
Net khas adalah istilah yang digunakan pengendali radio amatur yang mengendalikan stesen dan peralatan komunikasi radio jika komunikasi konvensional menghadapi masalah.
Penyelaras MARTS Disaster and Emergency Communication Center (MDECC), Hamdan Abu berkata, net khas berkenaan diadakan bagi menghargai tugas murni wartawan menyampaikan maklumat terkini kepada masyarakat.
Hamdan berkata, ia akan dikendalikan oleh beliau dan Mansur Abd Muen selaku pengawal rangkaian dan turut menjemput bekas Ketua Biro Utusan Malaysia Melaka, Amran Mulup bagi berkongsi pengalamannya sepanjang 35 tahun bergelar wartawan.
"Net Khas ini akan bersiaran pukul 10.30 pagi pada Ahad ini menerusi rangkaian pengulang di seluruh negara dan dipancarkan ke seluruh dunia menerusi aplikasi Echolink.
"Mereka yang bukan pengendali radio amatur yang ingin mengikut net ini boleh menontonnya secara langsung menerusi Facebook rasmi MARTS," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Hamdan berkata, sejak Januari hingga semalam, MARTS telah mengendalikan sebanyak 35 net khas sempena hari-hari peristiwa di Malaysia dan dunia seperti Hari Pahlawan, Hari Jururawat, Hari Alam sekitar, Hari Kanak-Kanak dan seumpamanya manakala pada 2021, sebanyak 135 net khas telah dikendalikan.
Beliau berkata, selain menghargai tugas mereka yang terlibat dalam pelbagai kerjaya, net ini juga dikendalikan secara berkala untuk latihan komunikasi sebagai persediaan kepada pengendali radio amatur berlesen untuk mengendalikan peralatan komunikasi radio tanpa sebarang masalah terutama apabila diperlukan ketika kecemasan atau bencana.
Katanya pada tahun lepas juga, MARTS telah mengendalikan stesen komunikasi kecemasan bagi membantu agensi kerajaan menguruskan komunikasi banjir apabila beberapa kawasan di seluruh negara yang terlibat dengan bencana tersebut telah terputus hubungan komunikasi menggunakan telefon.
"Ketika ini, kira-kira 14,000 individu di seluruh negara memiliki lesen untuk mengendalikan radio amatur dengan kebanyakan mereka juga menjadi ahli kepada beberapa persatuan atau kelab radio amatur di negara ini.
"Oleh itu, MARTS yang ditubuhkan pada 1952, juga mewakili Malaysia di peringkat dunia melalui International Amateur Radio Union (IARU) sentiasa bersedia untuk membantu komunikasi mana-mana pihak yang memerlukan jika komunikasi konvensional menghadapi masalah," katanya. - DagangNews.com
#Hawana #MARTS #Malaysia Amateur Radio Transmitter's Society #MDECC