Margin industri pembinaan dijangka bertambah baik pada tahun ini - Kenanga Research
Bernama
Januari 5, 2024 04:00 MYT
Januari 5, 2024 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Margin industri pembinaan dijangka bertambah baik pada tahun ini apabila kontrak lama dengan margin rendah berakhir manakala kontrak baharu yang mempunyai margin lebih tinggi mula memberi sumbangan, kata Kenanga Research.
Dalam nota penyelidikannya pada Jumaat, cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank itu juga menyifatkan, industri itu juga bersedia bagi mencatat margin lebih baik apabila kontrak-kontrak baharu diperoleh dan turut menggambarkan inflasi kos.
"Malah, sudah menjadi biasa bagi satu-satu kontrak itu turut disertakan dengan klausa kenaikan harga untuk melindungi margin kontraktor bagi tempoh pasca pandemik," katanya.
Sehubungan itu, Kenanga Research mengekalkan saranan "wajaran tinggi' bagi sektor pembinaan.
Selepas menyaksikan tahun suram pada tahun lepas, Kenanga Research menjangkakan projek-projek prasarana awam baharu akan memasuki pasaran pada 2024.
"Walaupun perbelanjaan pembangunan kasar berjumlah RM90 juta dalam Belanjawan 2024 lebih rendah daripada RM97 bilion bagi Belanjawan 2023, kerajaan boleh memanfaatkan DanaInfra Nasional Bhd bagi membiayai projek-projek berskala besar pada asas aktiviti luar kunci kira-kira," katanya.
Projek yang berada dalam senarai keutamaan termasuk Transit Aliran Massa 3 (MRT3) bernilai RM45 bilion yang akan menyediakan kesalinghubungan terhadap laluan MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan kereta api sedia ada menerusi stesen-stesen serta LRT Bayan Lepas bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang serius di Pulau Pinang.
"Kami percaya, secara realistiknya, (kerja pembinaan) MRT3 berkemungkinan besar dapat dimulakan pada separuh kedua 2024," katanya.
Kenanga Research berkata kerajaan juga telah memberi komitmen untuk melaksanakan projek-projek sedang dijalankan di Malaysia Timur seperti Lebuhraya Pan Borneo dan Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR).
Mengulas sektor pembinaan swasta, cabang penyelidikan itu menjangkakan sektor berkenaan kekal mantap, didorong terutamanya oleh pelaburan besar dalam kemudahan semikonduktor dan pusat data.
"Malaysia semakin mendapat tarikan dari segi lokasi bagi pelaburan pusat data sebagaimana dibuktikan oleh langkah Tenaga Nasional Bhd memeterai Perjanjian Bekalan Elektrik dengan lapan pusat data yang melibatkan kapasiti 2,000 megawatt.
"Projek pusat data dan semikonduktor ini masing-masing bernilai RM1 bilion hingga RM1.5 bilion yang biasanya pantas atau membabitkan margin lebih baik," katanya.
Berikutan itu, Kenanga Research berkata syarikat pilihan utamanya bagi sektor itu adalah Gamuda Bhd, IJM Corporation Bhd dan Sunway Construction Group Bhd. - BERNAMA