MARC: Sasaran defisit bajet mungkin sukar dicapai
Pritha Manivannan
Februari 25, 2016 16:32 MYT
Februari 25, 2016 16:32 MYT
Sasaran defisit bajet 2016 pada 3.1 peratus mungkin sukar dicapai sekiranya pertumbuhan ekonomi menyederhana di luar jangkaan.
Menurut Ketua Ekonomi Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC), Nor Zahidi Alias jika pertumbuhan KDNK melembap lebih daripada jangkaan, kerajaan harus memotong perbelanjaan bagi mencapai sasaran defisit fiskal.
Tambah beliau kerajaan harus terus fokus kepada langkah pengukuhan fiskal seperti yang dilihat semasa pengubahsuaian bajet 2016.
"Perbelanjaan pembangunan mungkin akan dikurangkan sedikit. Kerajaan sudahpun mengumumkan beberapa projek yang akan ditundakan.
"Jika anda lihat tahun kebelakangan ini, perbelanjaan pembangunan tidak digunakan sepenuhnya dan selalunya sebanyak 6% hingga 7% tidak digunakan. Jika ini berlaku, kerajaan akan menjimat RM3 bilion hingga RM4 bilion.
"Ini bukannya membatalkan projek. Kerajaan menunggu masa yang sesuai untuk menyambung projek tersebut supaya defisit bajet dapat dikekalkan," kata Zahidi.
Tambahnya pungutan GST yang dijangka mencecah RM39 bilion tahun ini bakal mengimbangi pendapatan kerajaan yang terjejas akibat kelemahan harga minyak.
Ini sekaligus membantu mencapai sasaran defisit tahun ini.
Dalam ubah suai bajet 28 Januari lalu, Perdana Menteri mengumumkan penundaan beberapa projek yang bukan mendesak dan mengutamakan projek berkaitan rakyat dan yang mempunyai kesan limpah berganda.
Projek yang diberi keutamaan termasuk rumah mampu milik, hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam.
Dalam pada itu, Zahidi berkata MARC menjangkakan pertumbuhan KDNK selaras jangkaan kerajaan iaitu 4 hingga 4.5 peratus bagi 2016.
Beliau turut menjangkan Ringgit didagang antara 3.95 dan 4.15 berbanding Dolar Amerika tahun ini.
Pemulihan harga minyak bantu prestasi perbankan
Pertumbuhan pinjaman bank tempatan dijangka pulih apabila harga minyak global meningkat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MARC, Mohd Razlan Mohamed peningkatan harga minyak global akan menambah baik sentimen dalam ekonomi sekaligus meningkatkan aktiviti pinjaman.
Razlan berkata kebanyakkan sektor ekonomi terutama sektor minyak dan gas mengambil langkah berhati hati dalam kejatuhan harga minyak.
Ia termasuk tidak mengambil pinjaman untuk operasi bagi mengurangkan tekanan risiko.
Perbankan juga mengurangkan selera risiko dalam memberi pinjaman.
"Pada pendapat kami, harga minyak mentah akan meningkat sedikit pada separuh kedua tahun ini. Ini dikatakan akan menambah baik sentimen terhadap situasi ekonomi negara ini.
"Jika harga minyak mentah menjadi stabil atau meningkat separuh kedua tahun ini, pinjaman perbankan akan meningkat.
"Tetapi bagi separuh pertama tahun ini, saya rasa ia masih lagi awal. Oleh itu, kebanyakkan sektor berhati-hati melihat keadaan ekonomi dan harga minyak terlebih dahulu," kata Razlan.
Sementara itu, menurut Penolong Naib Presiden Penarafan MARC, Sharidan Salleh terdapat dua lagi faktor yang menjejaskan pertumbuhan pinjaman bank.
Antaranya permintaan pinjaman yang lemah dan langkah pengetatan pinjaman perumahan oleh Bank Negara Malaysia.
Menurut MARC, pertumbuhan pinjaman bank dijangka menyusut sekitar 7 peratus tahun ini.
Ia berbanding pertumbuhan 7.9 peratus pada 2015.
#defisit bajet 2016
#Ketua Pegawai Eksekutif MARC
#Malaysian Rating Corporation Berhad
#MARC
#Mohd Razlan Mohamed
#Nor Zahidi Alias
#Penolong Naib Presiden Penarafan MARC
#Sharidan Salleh