MARA Corporation teroka pembuatan kenderaan EV, tenaga boleh diperbaharui dengan syarikat gergasi China

Nazri Kahar
Mei 27, 2024 09:50 MYT
Pemeteraian itu dibuat antara SKS dan CRRC Corporation; MARA Liner dan SKS; serta MARA Corp dan China Electrical Equipment Group (CEEG). - Gambar/ Fariz Iswadi
SHANGHAI: MARA Corporation menempa satu lagi kejayaan dalam bidang perniagaan baharu terutama membabitkan tenaga boleh diperbaharui dan pembuatan bas elektrik.
MARA Corporation melalui MARA Liner akan bekerjasama dengan syarikat bas utama Malaysia iaitu SKS Coach Builders Sdn Bhd (SKS) dalam kerjasama yang melibatkan Zhejiang CRRC, iaitu anak Syarikat CRRC Electric Vehicle Co Ltd, sebuah syarikat milik Kerajaan China dan peneraju dunia dalam pembuatan bas elektrik (EV Bus)
Majlis menandatangani memorandum persefahaman, memorandum perjanjian serta surat niat berkaitan bas elektrik disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Hotel Shangri-La, Pudong, Shanghai pada Isnin.
Pemeteraian itu dibuat antara SKS dan CRRC Corporation; MARA Liner dan SKS; serta MARA Corp dan China Electrical Equipment Group (CEEG).
Melalui kerjasama ini MARA Liner berhasrat untuk menjadi peneraju dalam pembekalan bas EV termasuk jualan langsung dan pajakan untuk kegunaan awam dan kerajaan, dianggarkan melibatkan 800 bas dengan nilai sekitar RM960 juta.
Selain itu MARA Corporation juga sedang meneroka perniagaan tenaga baharu di Malaysia termasuk penjanaan kuasa tenaga baharu selain pembangunan dan pelaburan projek Sistem Penyimpanan Tenaga Suria dan Bateri (BESS) di Malaysia.
MARA Corporation turut memeterai perjanjian perniagaan tenaga baharu dengan CEEG yang merupakan peneraju dunia di dalam pengujian kapasiti elektrik di samping membiayai projek pembekalan dan penyimpanan tenaga boleh diperbaharui.
#Zahid Hamidi #China #Mara Corps #kenderaan elektrik