Manfaatkan teknologi kecerdasan buatan sebagai ‘hamba’ perusahaan anda

Hilal Azmi
November 19, 2023 16:55 MYT
Melalui Duet AI, pengguna Google Workspace boleh melakukan integrasi antara aplikasi seperti Google Mail, Google Docs, Google Slide, dan juga Google Meet. -Google Cloud
Ada apa dengan AI?
TEKNOLOGI kecerdasan buatan (artificial intelligence) atau lebih popular dipanggil sebagai AI merupakan simulasi kecerdasan manusia yang digerakkan oleh mesin.
Teknologi ini membawa citra fungsi kognitif yang ada pada minda manusia untuk digunakan pada mesin agar ia boleh dimanfaatkan tanpa kekangan keupayaan tenaga manusia sedia ada.
Maka ketika ini, usaha membangunkan teknologi AI giat dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan sesuatu tugas serta produktiviti sesebuah perusahaan.
Paling popular, melalui teknologi ini, banyak tugas yang sifatnya berulang-ulang dapat dilakukan dengan lebih cekap tanpa memerlukan tenaga manusia.
Di Malaysia, tugas juruwang di bank umpamanya telah pun memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan sejak awal tahun 80-an lagi.
Bagaimana Teknologi AI berfungsi?
Asas ilmu yang menghasilkan teknologi kecerdasan buatan datang daripada ilmu matematik.
Bermula dari ilmu matematik, maka segala usaha pengekodan boleh dibuat bagi proses menaakul maklumat yang dimasukkan untuk dianalisis.
Semuanya kerana kecerdasan buatan berfungsi menggunakan algoritma dan model statistik dalam menganalisis sejumlah besar data, memahami corak serta membuat ramalan atau keputusan berasaskan data yang telah dimasukkan.
Jadi, prosesnya bermula dengan pengumpulan data, prapemprosesan data, pemilihan model, latihan, dan pengesahan.
Bagaimana untuk menjadikan AI sebagai ‘hamba’ perusahaan?
Biasanya dalam apa-apa perusahaan berasaskan digital, pastinya ada beberapa tugas yang sifatnya berulang-ulang dan tidak memerlukan proses penaakulan yang kompleks.
Tambahan pula di era moden ini, keupayaan manusia juga telah meningkat selaras dengan taraf pendidikan yang semakin baik.
Maka, terciptalah banyak aplikasi yang dikuasakan oleh AI dengan objektif untuk memantapkan kecekapan kerja seseorang.
Namun demikian, kesemua aplikasi ini belum sepenuhnya mampu menjadi ‘hamba’ yang berguna kepada manusia.
Tetapi, proses integrasi antara aplikasi yang dibina mampu menjadikan teknologi AI untuk dimanfaatkan bagi meningkatkan kecekapan kerja manusia.
Bagaimana perusahaan mikro, kecil & sederhana dapat memanfaatkan ‘hamba’ moden ini?
Menerusi teknologi AI, kerja-kerja pemasaran digital dapat digerakkan secara automatik.
Pertama, proses menjana idea untuk kandungan pemasaran dapat dibuat dengan cepat menerusi penjanaan maklumat oleh beberapa model AI yang telah dibangunkan. Anda boleh cuba gunakannya menggunakan teknologi Google Bard mahupun Duet AI.
Kalau anda seorang yang pemalu, tidak mahu wajah anda dijadikan bahan dagangan bagi tujuan pemasaran, penjanaan avatar melalui teknologi AI pastinya akan menjadikan hidup anda lebih bahagia.
Selain tujuan pemasaran, proses pembuatan juga sebenarnya telah banyak memanfaatkan teknologi AI bagi mempercepatkan proses persiapan produk.
Sebagai contoh, dalam pembuatan makanan, terdapat banyak jenis periuk automatik telah dicipta berasaskan pemikiran AI dalam mengawal proses pemanasan makanan mengikut keperluan produk berkenaan.
Duet AI sanggup menjadi ‘hamba’ perusahaan
Baru-baru ini, Astro AWANI berpeluang untuk merasai pengalaman memanfaatkan aplikasi terbaharu Google melalui Duet AI di ibu pejabat Google Asia Pasifik, Singapura.
'Kesanggupan' Google untuk menawarkan keupayaan Duet AI sebagai 'hamba' kepada syarikat-syarikat yang menggunakan Google Workspace amatlah mengujakan.
Mana tidaknya, anda boleh gunakan AI untuk menyusun jadual mesyuarat, senaraikan cadangan-cadangan lokasi mesyuarat, siapkan slaid persembahan perniagaan malah AI juga boleh digunakan untuk hadirkan diri bagi pihak anda untuk mesyuarat secara dalam talian di Google Meet.
Melalui Duet AI, pengguna Google Workspace boleh melakukan integrasi antara aplikasi seperti Google Mail, Google Docs, Google Slide, dan juga Google Meet.
Biasanya, semua aplikasi ini digunakan secara berasingan yang kadang kala memberikan tekanan kepada pengguna.
Bagi memastikan proses pengurusan maklumat antara aplikasi yang lebih cekap, Duet AI membantu untuk menguruskan semua maklumat ini mengikut keperluan yang diarahkan.
Kalau tiada idea untuk tulis cadangan perniagaan atau apa-apa laporan yang telah dikongsikan dalam akaun organisasi anda, Duet AI juga mampu memberikan cadangan mengikut kerangka yang biasa digunakan sebelum ini.
Berdasarkan pengalaman Astro AWANI, kami merasakan banyak tugas dapat disiapkan dalam masa yang singkat berbanding sebelum menggunakan Duet AI.
Nak hadamkan emel yang banyak sebagai bahan mempersiapkan analisis ringkas untuk tujuan pembentangan semasa mesyuarat, semuanya boleh dibantu AI.
Bayangkan betapa mudahnya hidup!
#kecerdasan buatan #AI #Duet AI #Google AI
;