Manfaatkan e-dagang, tingkat perdagangan Malaysia-China
Malik Ridhwan
Ogos 18, 2016 18:56 MYT
Ogos 18, 2016 18:56 MYT
Pengeksport tempatan disaran memanfaatkan penggunaan e-dagang dalam memasarkan produk ke China.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata ini bagi mengambil kesempatan ke atas sektor e-dagang rentas sempadan China yang sedang berkembang pesat.
“Teknologi digital ialah masa depan. Keberadaan dalam talian adalah perlu untuk mendekati lebih ramai pengguna di China. Kami menjangkakan sekiranya ia (e-dagang) dilaksanakan dengan baik, angka perdagangan kami akan meningkat. Pasaran China sedang berkembang dengan baik.
“Walaupun sekarang mereka sedang melalui proses konsolidasi, bagi saya masa depan dengan China sangat cerah berbanding ekonomi negara-negara lain. Sebab itu anda perlu meneroka dalam bidang baharu untuk kita capai (sasaran AS$160 bilion),” kata Ong dalam ucapannya di seminar Embracing China: How to Export Effectively to China, di sini, pada Khamis.
Seminar anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu turut dihadiri Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang dan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud.
Di bawah Program Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan Lima Tahun, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mensasarkan untuk mencapai jumlah nilai perdagangan AS$160 bilion menjelang 2017.
Tambah Ong, pengeksport Malaysia perlu mempelbagaikan aktiviti promosi melalui pelbagai platform dalam talian di China seperti Alibaba.com, JD.com, Yihaodian, Tmall dan Rongyigou dalam usaha meningkatkan capaian penduduk di wilayah utara, tengah dan barat negara itu.
Pada 2015, transaksi e-dagang rentas sempadan China bernilai kira-kira AS$40 bilion, lebih enam peratus daripada jumlah pengguna e-dagang republik itu, dan angka itu terus meningkat sehingga 50 peratus tahun ke tahun.
Eksport buah-buahan ke China
Dalam pada itu, Ong berkata buah-buahan tempatan seperti durian belum diproses dan nanas mempunyai permintaan tinggi di China.
Justeru, Malaysia sedang berusaha untuk memeterai Perjanjian Protokol Perdagangan Buah-Buahan Malaysia-China untuk membolehkan buah-buahan tersebut dieksport secara terus ke negara itu.
“Kami harap dapat mewujudkan eksport langsung ke China. Dari enam peratus, ia boleh naik sehingga 20 peratus selepas menandatangani protokol ini.
"Ini akan membawa masuk banyak pendapatan ke negara ini dan mewujudkan banyak insentif untuk rakyat kita meneroka sektor pertanian,” katanya.
Ketika ini, China hanya menerima eksport durian tempatan yang sudah diproses.
Tambah Ong, rundingan perjanjian itu kini dalam fasa terakhir dan dijangka dapat diselesaikan semasa lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ke Beijing September ini.