Manfaat bantuan peniaga kecil, cetus revolusi 'baby lekor' di Mersing

Astro Awani
Mei 2, 2020 11:00 MYT
Idea menghasilkan baby lekor dan bebola ikan itu juga datang ekoran kekurangan sesetengah bahan makanan di pasaran. - Gambar Astro AWANI
Seorang usahawan keropok lekor di Mersing, Johor cuba mempelbagaikan perusahaannya dengan menghasilkan makanan berunsurkan ikan iaitu bebola ikan.
Selain mengekalkan perusahaan keropok lekor sejak 15 tahun lalu, dia juga merevolusikan keropok lekornya di dalam bungkusan dengan jenama sendiri iaitu Baby Lekor.
Siti Jumiria Nasir berkata, menjalani normal baharu sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuka matanya agar usahawan kecil harus lebih kreatif untuk terus kekal dalam perniagaan.
Oleh itu jelasnya, bantuan peniaga kecil yang diberi kerajaan baru-baru ini dimanfaatkan dengan membeli sebuah mesin bagi memproses baby lekor bersaiz kecil dan juga bebola ikan.
Penggunaan mesin itu bagi menggantikan pekerja yang terpaksa dibekukan seketika khidmatnya kerana PKP.
Kedua-dua produk yang menggunakan mesin mampu menghasilkan 50 kilogram baby lekor dan bebola ikan dengan 200 bancuhan setiap hari.
Permintaan kedua-dua makanan melalui bayar tunai juga mendapat 30 sehingga 40 bungkus permintaan setiap hari.
“Musim PKP ini boleh buat duit. Apa yang penting kita ada daya usaha untuk memikirkan cara untuk menjual produk itu sendiri.
“Contohnya keropok leko sejuk beku sebelum ini yang jarang kita buat, tetapi semasa PKP ini kita buat khas demi memenuhi permintaan.
“Salah satu usaha, kita buat bebola ikan, saya sendiri pergi ke pasar raya dan cari ikan. Kita cuba pasarkan produk ini dan tidak sangak terima sambutan,” katanya.
Idea menghasilkan baby lekor dan bebola ikan itu juga datang ekoran kekurangan sesetengah bahan makanan di pasaran.
Dia turut mendapati permintaan makanan jualan tunai begitu tinggi sejak PKP.
“Sebab tengok pasaran kita sebagai pengguna isi rumah yang memerlukan bahan untuk masak, untuk rumah tetapi kadang-kadang bahan tidak ada. Sekali bancuh dalam 50 kilogram, kalau macam 600 gram dapat 100 paket satu bancuhan. Kami guna mesin, kalau pekerja banyak cuti, jadi kita panggil untuk paket sahaja,” ujarnya.
Setiap pagi dia atau suaminya akan membuat penghantaran baby lekor dan bebola ikan kepada pelanggan.
Katanya, kedai hanya dibuka untuk melakukan pembungkusan yang dibantu anak-anaknya.
Perusahaan keropok mereka sememangnya dikenali di perairan Mersing.
Mersing juga sinonim dengan penjualan keropok leko dan keropok ikan di kalangan pengunjung daerah itu.
#bebola ikan #ikan #keropok lekor #makanan #Mersing #peniaga #revolusi
;