Malindo Air sahkan tiada model Boeing 737 MAX dalam rantaian pesawatnya
Astro Awani
Mac 11, 2019 19:13 MYT
Mac 11, 2019 19:13 MYT
Malindo Air pada Isnin mengesahkan ia tidak memiliki pesawat Boeing 737 MAX dalam operasi syarikatnya.
Syarikat penerbangan Malindo dalam kenyataannya juga berkata ia akan meneliti penghantaran model MAX dalam rantaian pesawatnya.
Kenyataan itu susulan tragedi yang menimpa pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas ketika dalam penerbangan dari Addis Ababa ke Nairobi pada Ahad dan mengorbankan kesemua 157 penumpang dan kru.
Nahas ini juga merupakan tragedi kedua melibatkan pesawat jenis Boeing 737 Max 8 dalam tempoh lima bulan selepas pesawat syarikat penerbangan tambang murah Lion Air terhempas Oktober lalu mengorbankan kesemua 189 penumpang dan anak kapalnya.
Ketua pegawai eksekutifnya Chandran Rama Muthy juga mengucapkan takziah di atas tragedi yang menimpa pesawat Ethiopian Airlines semalam.
"Ingatan dan doa kami buat mereka yang terkesan dengan tragedi ini."
Malindo Air mengendali rantaian 42 pesawat termasuk 29 Boeing 737 NG dan 13 ATR72-600.
Terdahulu, Malaysia Airlines (MAS) dalam kenyataannya memaklumkan syarikat berkenaan tidak menggunakan pesawat jenis 737 Max 8.
MAS dalam kenyataannya pagi tadi berkata ia telah meminta maklumat teknikal daripada Boeing berhubung penghantaran pesawatnya pada 2020.
#Addis Ababa ke Nairobi
#ATR72-600
#Boeing 737 Max
#Boeing 737 NG
#chandran rama muthy
#Ethiopian Airlines
#Lion Air
#Malaysia Airlines
#Malindo Air
#nahas pesawat
#pesawat terhempas