Malindo Air perkenal laluan baharu ke Phuket

Bernama
November 11, 2016 04:00 MYT
Dua lagi laluan perkhidmatan Malindo Air ke Thailand ialah Bangkok dan Chiang Mai. - Gambar fail
Syarikat penerbangan Malindo Air hari ini memperkenalkan Phuket sebagai laluan ketiganya di Thailand dengan empat penerbangan seminggu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Malindo Air, Raja Sa'adi Raja Amrin berkata, penerbangan sulung ke Phuket hari ini membawa 89 penumpang, termasuk kru penerbangan dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket.
"Malindo Air telah menyaksikan pertumbuhan pesat di rantau ini dengan menawarkan lebih banyak perkhidmatan kepada penumpang untuk perniagaan dan percutian.
"Perkhidmatan kami akan merangsang pembangunan industri pelancongan di Malaysia dan Thailand kerana kami mampu menawarkan kesambungan dari Thailand, bukan sahaja ke Malaysia, tetapi juga ke Indonesia, Australia dan India yang juga dalam lingkungan rangkaian perkhidmatan kami," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Dua lagi laluan perkhidmatan Malindo Air ke Thailand ialah Bangkok dan Chiang Mai.
Raja Sa'adi berkata, untuk laluan baharu ke Phuket, tambang pengenalan promosi untuk kelas ekonomi bagi perjalanan sehala termasuk semua akan bermula daripada RM139 dan kelas bisnes pula daripada RM599. - BERNAMA
#Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur #Malindo Air #Phuket