Malindo Air nyata hasrat terbang ke Ipoh - Zambry

Bernama
April 5, 2014 08:23 MYT
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Malindo Air akan menjadi syarikat penerbangan terbaharu yang terbang ke Ipoh.
Katanya syarikat penerbangan itu juga akan melakukan penerbangan dari Ipoh ke beberapa destinasi lain.
"Malindo secara tidak rasmi menyatakan kesediaan mereka untuk mengadakan penerbangan mereka ke beberapa destinasi," katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Pemangku Raja Perak di Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini Jumaat.
Sementara itu, Zambry berkata kerajaan negeri akan meneruskan usaha untuk mengatasi isu landasan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) yang masih belum boleh digunakan oleh pesawat besar selepas dinaik taraf.
"Kita sebenarnya merancang menjadikan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah sebagai pusat MRO (Maintainance Repair and Operation) dan pusat simulasi helikopter Asia Pasifik yang telah hampir dimeterai perjanjiannya dan tiba-tiba timbul berita masalah berhubung landasan, ini sangat mengecewakan saya," katanya.
Landasan LTSAS dinaik taraf dengan kos RM15.22 juta bagi membolehkan pesawat besar mendarat, namun masalah timbul apabila berlaku sembilan lubang benam pada landasan berkenaan selepas kerja pemanjangan dan pelebaran siap.
#Dr Zambry Abdul Kadir #LTSAS #Malindo Air
;