Malindo Air lancarkan penerbangan harian ke Phnom Penh dan Chennai
Bernama
Jun 29, 2017 07:50 MYT
Jun 29, 2017 07:50 MYT
Malindo Air akan melancarkan dua penerbangan harian dari Kuala Lumpur ke Phnom Penh (Kemboja) dan Chennai (India), masing-masing pada 1 Ogos dan 24 Julai tahun ini.
Tempahan kini dibuka dan sempena dengan pelancaran, syarikat berkenaan menawarkan tiket semua dalam tambang ke Phonm Penh bermula dari RM139 untuk kelas ekonomi dan RM749 untuk kelas bisnes.
Tambang kelas ekonomi ke Chennai bermula dari RM438 dan kelas bisnes pada RM999.
Tambang-tambang promosi ini merangkumi elaun bagasi, hiburan dan hidangan dalam pesawat, kata Malindo Air dalam satu kenyataan pada Khamis.
"Kami amat teruja untuk mengumumkan dua laluan baharu ini ke dalam rangkaian kami. Phnom Penh dan Chennai adalah kaya dengan budaya dan kedua-dua destinasi memiliki pengunjung aktif bagi tujuan perdagangan serta pelancongan.
"Penambahan laluan ini menyokong usaha kami yang berterusan bagi menjadikan KLIA sebagai hab transit, dengan menghubungkan penumpang yang mahu melawat Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Chandran Rama Muthy.
Syarikat penerbangan itu berkata, penerbangan Malindo Air OD580 akan berlepas setiap hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh (PNH) pada 8.55 pagi. Penerbangan balik, OD581, akan bertolak pada hari yang sama dari PNH pada 9.45 pagi dan tiba di KLIA pada 7.35 tengah hari.
Sementara itu, penerbangan perkongsian kod Chennai dengan Batik Air, OD9114 akan berlepas setiap hari dari KLIA pada 6.25 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai (MAA) pada 7.55 pagi. Penerbangan balik, OD9115, akan bertolak pada hari yang sama dari MAA pada 8.55 pagi dan tiba di KLIA pada 3.25 petang.
Menjelang 30 Ogos, kekerapan kedua akan ditambah, menjadikan dua penerbangan harian dari Kuala Lumpur ke Chennai.
Pesawat bernombor OD9112 akan berlepas pada setiap hari dari KLIA pada 8.55 malam dan tiba di MAA pada 10.20 malam. Penerbangan balik OD9113 akan bertolak pada hari yang sama dari MAA pada pukul 11.10 malam dan tiba di KLIA itu, keesokan harinya pada 5.40 pagi.
Chandran berkata, Malindo Air berharap untuk membantu meningkatkan pelancongan ke Malaysia dan bandar-bandar yang dihubungkan melalui rangkaiannya.
"Penumpang dari India, sebagai contoh, boleh terbang ke Kuala Lumpur dan seterusnya menyambung perjalanan mereka ke Indonesia, Australia atau Hong Kong atau Taiwan. Rangkaian kami sedang berkembang dengan pesat, terutamanya dengan strategi perkongsian kod yang progresif, yang bermatlamat untuk menyediakan perhubungan yang lebih baik di rantau ini," katanya.
--BERNAMA
#chandran rama muthy
#Chennai
#India
#Kemboja
#KLIA
#Kuala Lumpur
#Malindo Air
#penerbangan harian
#Phnom Penh