Malindo Air beroperasi dari terminal utama KLIA berkuat kuasa esok
Bernama
Mac 14, 2016 19:02 MYT
Mac 14, 2016 19:02 MYT
Malindo Air akan memulakan operasi pesawatnya dari terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkuat kuasa esok.
Syarikat penerbangan itu berkata, pemindahan dari klia2 bertujuan meningkatkan khidmat pelanggan dan meletakkan Malindo Air bagi pertumbuhan mampan dalam jangka panjang.
"Semua penerbangan Malindo Air dari dan ke Kuala Lumpur mulai 15 Mac akan berlepas dari dan tiba di bangunan terminal utama KLIA.
"Penumpang Malindo Air digesa membuat pengaturan pengangkutan dan titik pertemuan yang diperlukan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, operasi pesawat turbo-prop ATR72-600 Malindo Air dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang tidak terjejas.
Ketua Pegawai Eksekutif, Chandran Rama Muthy berkata, sebab utama untuk perpindahan itu adalah bagi memulakan perkongsian kod dengan rakan kongsi syarikat penerbangannya.
"Kami berharap dalam jangka panjang kami akan mampu menyumbang secara positif kepada pertumbuhan industri penerbangan dan pelancongan negara, dengan itu meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara," tambahnya.
Dalam tempoh peralihan, kakitangan lapangan terbang dan dari jabatan lain akan ditempatkan di beberapa tempat strategik di sekitar terminal untuk membantu penumpang dengan pergerakan pelepasan dan ketibaan.