Malaysia-Uzbekistan jalin kerjasama berkaitan beras, hortikultur, baja
Bernama
Ogos 16, 2023 05:00 MYT
Ogos 16, 2023 05:00 MYT
PUTRAJAYA: Malaysia dan Uzbekistan berhasrat menjalinkan kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (RD) berkaitan beras, hortikultur dan baja.
Bagi tujuan tersebut, Memorandum Persefahaman (MoU) bakal ditandatangani antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Uzbekistan Center of Knowledge and Innovation in Agriculture.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa perkara itu dibincangkan dalam pertemuan antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia Ravshan Usmanov di Wisma Tani di sini pada Selasa.
Menurut KPKM pertemuan itu membincangkan usaha kedua-dua negara untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian terutamanya bagi menjamin sumber bekalan makanan yang stabil dan berkualiti.
"Agenda perbincangan juga menjurus kepada prospek akses pasaran baharu produk pertanian seperti produk tambah nilai daripada daging ayam dan daging lembu termasuk produk sarang burung," menurut KPKM.
KPKM memaklumkan Usmanov turut menyampaikan jemputan Menteri Pertanian Uzbekistan kepada Mohamad untuk menghadiri International Conference on Food Security (ICFS) yang dijadualkan bulan depan di Samarkand, Uzbekistan.
ICFS diadakan buat julung kalinya oleh kerajaan Uzbekistan dengan kerjasama Food and Agriculture Organisation (FAO).
-- BERNAMA