Malaysia, UAE akan adakan perundingan mengenai kerjasama perdagangan komprehensif

Bernama
Mei 23, 2023 04:45 MYT
Tengku Zafrul dan Menteri Negara bagi Perdagangan Luar UAE Dr Thani bin Ahmad Al Zeyoudi menyatakan kesediaan mereka untuk melancarkan rundingan CEPA melalui kenyataan bersama menteri. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah bersetuju untuk mengadakan rundingan bagi mewujudkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA).
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata perjanjian itu akan memberi momentum baharu bagi kedua-dua negara untuk meningkatkan perkongsian sedia ada mereka melalui kerjasama yang lebih strategik untuk meningkatkan dan memacu peluang ekonomi serta perdagangan dua hala baharu.
"CEPA Malaysia-UAE akan menjadi perjanjian yang komprehensif dan saling menguntungkan, meliputi perdagangan barangan dan perkhidmatan, pelaburan, kerjasama ekonomi dan bidang baharu muncul kepentingan bersama yang perlu dipersetujui," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata perkongsian itu akan menyediakan pentas bagi rangka kerja ekonomi yang komprehensif dan saling menguntungkan yang akan menjalin kerjasama strategik yang lebih kukuh, memupuk inovasi, memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi kedua-dua negara.
"UAE secara konsisten memegang kedudukannya sebagai rakan dagangan penting dan strategik untuk Malaysia di Timur Tengah manakala Malaysia berperanan sebagai pintu masuk yang ideal untuk UAE meneroka pasaran Asia-Pasifik.
"Berdasarkan aspirasi bersama kami, saya yakin CEPA Malaysia-UAE akan membawa manfaat yang besar kepada perniagaan, usahawan dan rakyat kedua-dua negara, melonjakkan perkongsian istimewa dan rapat kami ke tahap baharu," katanya.
Tengku Zafrul dan Menteri Negara bagi Perdagangan Luar UAE Dr Thani bin Ahmad Al Zeyoudi menyatakan kesediaan mereka untuk melancarkan rundingan CEPA melalui kenyataan bersama menteri.
MITI berkata sebagai rakan dagangan kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar di kalangan negara Asia Barat pada 2022, UAE boleh menjadi pintu masuk yang ideal bagi Malaysia untuk menembusi pasaran Timur Tengah dan akan menyediakan peluang untuk hubungan perniagaan-ke-perniagaan seterusnya dalam rantau ini.
UAE juga merupakan rakan dagangan ke-17 terbesar Malaysia pada 2022 dengan jumlah perdagangan bernilai RM38.73 bilion (AS$8.79 bilion).
MITI berkata pada masa hadapan, kedua-dua menteri dan kementerian masing-masing akan mengambil langkah yang perlu untuk memulakan rundingan mengenai CEPA Malaysia-UAE dan supaya ia dimuktamadkan dalam garis masa yang dipersetujui, membuka jalan untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala antara kedua-dua negara.
-- BERNAMA
#UAE #CEPA #kerjasama strategik #pertumbuhan ekonomi
;