Malaysia, Turki akan muktamadkan keseluruhan pakej FTA diperluaskan pada pertengahan 2022 - Azmin

Bernama
November 24, 2021 00:05 MYT
Mohamed Azmin berkata selepas dimuktamadkan, FTA tersebut akan turut meliputi perdagangan dalam perkhidmatan, pelaburan dan perdagangan elektronik. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Turki bakal memuktamadkan rundingan berasaskan teks untuk perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang diperluaskan antara kedua-dua negara pada akhir tahun ini dan memuktamadkan keseluruhan pakej menjelang pertengahan tahun 2022.
Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata selepas dimuktamadkan, FTA tersebut akan turut meliputi perdagangan dalam perkhidmatan, pelaburan dan perdagangan elektronik.
Katanya pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, diketuai oleh Ketua Setiausaha Datuk Lokman Hakim Ali, berada di Ankara minggu lepas untuk menemui pegawai perdagangan Turki bagi merundingkan perluasan perjanjian sedia ada.
"Saya gembira untuk berkongsi bahawa perbincangan pada minggu lepas telah mencapai kemajuan yang besar dan kedua-dua pihak kini dijangka akan memuktamadkan rundingan berasaskan teks pada akhir tahun ini dan memuktamadkan keseluruhan pakej FTA menjelang pertengahan 2022," katanya dalam ucapan pada majlis pembukaan pejabat baharu Industri Aeroangkasa Turki (TAI) di Cyberjaya hari ini.
Sehingga Jun 2021, sebanyak 13 projek pembuatan dengan penyertaan Turki telah diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM510.4 juta.
Azmin berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mempunyai elemen yang digariskan dalam rangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).
-- BERNAMA
#Azmin Ali #Malaysia #Turki #perjanjian perdagangan bebas #FTA
;