Malaysia tidak teragak-agak kembangkan kedudukan fiskal untuk pulih ekonomi
Bernama
Januari 7, 2021 21:20 MYT
Januari 7, 2021 21:20 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak teragak-agak bertindak mengembangkan kedudukan fiskal dalam jangka pendek bagi membiayai pakej-pakej rangsangan ekonomi serta belanjawan terbesar negara bagi 2021 yang berjumlah RM322.5 bilion.
Ketika menegaskan perkara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata walaupun belanjawan itu adalah yang terbesar dalam sejarah, namun ianya dilaksanakan dengan strategi jelas yang antara lainnya bertujuan mencapai defisit kurang empat peratus di bawah pelaksanaan Kerangka Fiskal Jangka Sederhana.
"Kerajaan juga sedang merangka Akta Tanggung Jawab Fiskal untuk memastikan pengurusan fiskal secara berhemat dan telus berpaksikan amalan pengurusan terbaik antarabangsa.
"Selain itu, kerajaan juga komited untuk mengukuhkan penjanaan hasil negara melalui pendekatan pelbagai serampang, bermula dengan pengawalseliaan ekonomi bayangan yang dijangka bersaiz 18 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia atau sekitar RM300 bilion pada 2019," katanya ketika berucap pada Hari Korporat Tahunan Maya CGS-CIMB 2021 Ke-13 di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata kerajaan juga akan melaksanakan Strategi Hasil Jangka Sederhana yang antara lainnya mengurangkan kebergantungan negara terhadap hasil komoditi selain terus menambah baik kerangka percukaian bagi mengekang ketirisan.
"Namun, saya memberi jaminan bahawa sebarang kajian semula akan memastikan sistem cukai yang saksama, dilaksanakan pada masa yang sesuai dan mengambil kira kesan terhadap rakyat dan perniagaan secara menyeluruh," kata beliau.
Menurutnya, pelaksanaan projek-projek berskala besar di Malaysia akan turut memacu pertumbuhan sosioekonomi dalam tahun-tahun mendatang.
Ini termasuk projek yang disenaraikan dalam Belanjawan 2021 seperti Inisiatif kesalinghubungan Digital (JENDELA) bernilai RM7.4 bilion dan fasa pertama menyasarkan 7.5 juta premis dengan jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit dan 96.8 peratus liputan 4G menerusi kelajuan jalur lebar mudah alih yang lebih tinggi.
Projek infrastruktur lain termasuk Lebuhraya Pan Borneo, Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB, Landasan Berkembar Lembah Klang, Transit Aliran Massa 3 dan Sistem Aliran Transit (RTS) JB-Singapura.
"Tahun ini sahaja, kerajaan telah memperuntukkan RM15 bilion untuk projek-projek ini yang dijangka memberi nilai pengganda tinggi daripada fasa pembinaan sehinggalah selepas projek-projek tersebut siap," katanya.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata, terdapat projek-projek infrastruktur luar bandar untuk mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar dengan peruntukan RM2.7 bilion serta lima koridor ekonomi utama yang akan mendapat suntikan fiskal bagi memudah cara pelaburan dan pertumbuhan.
Beliau berkata, selepas ketidaktentuan pada 2020 akibat pandemik COVID-19, Malaysia berupaya mengharungi krisis itu dan 2021 akan menjadi tahun peralihan.
"Cabaran sama turut dihadapi oleh semua ekonomi dunia iaitu menguruskan sumber negara dengan berhemat sambil mengimbangi keperluan semasa dan akan datang.
"Walaupun sukar, apa-apa keputusan mestilah dibuat demi kebaikan rakyat Malaysia dan komuniti perniagaan kita," katanya.
-- BERNAMA