Malaysia tidak mampu hilang tenaga kerja mahir - V Sivakumar

Fareez Azman
Oktober 30, 2023 15:35 MYT
Sivakumar berkata, KSM sedang giat bekerjasama dengan pemain industri untuk memupuk ekosistem pembangunan modal insan yang setia untuk menyokong usaha ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar percaya pembangunan modal insan di negara ini boleh terus dipacu menerusi kerjasama pelbagai pihak, antaranya menerusi National Human Capital Conference and Exhibition (NHCCE) 2023.
Ujarnya, inspirasi Malaysia sebagai negara membangun sepenuhnya boleh dicapai menerusi inisiatif itu.
"Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang giat bekerjasama dengan pemain industri untuk memupuk ekosistem pembangunan modal insan yang setia untuk menyokong usaha ini.
"Langkah ini penting untuk memacu inspirasi Malaysia menjadi negara membangun sepenuhnya bagi mencapai matlamat yang bercita-cita tinggi ini.
"Negara ini tidak mampu kehilangan mana-mana kumpulan bakat kemahiran kerana kekurangan prospek kerjaya yang baik atau ekosistem modal insan yang lusuh," jelasnya.
Justeru jelas Sivakumar, semua pihak termasuk pemain industri perlu menjadi satu pasukan dalam meningkatkan tenaga kerja mahir negara menjelang 2030.
"Dengan bersatu, kita boleh melakukan lebih banyak lagi untuk pembangunan negara membangun kita.
"Itulah sebabnya saya yakin inisiatif seperti NHCCE 2023 akan menjadi titik perubahan dalam memartabatkan pembangunan modal insan Malaysia," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian National Human Capital Conference and Exhibition (NHCCE) anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Isnin.
NHCCE 2023 mengumpulkan pengamal bidang modal insan dan sumber manusia bermula 30 hingga 31 Oktober 2023.
#ksm #V Sivakumar #NHCCE 2023 #HRD Corp
;