Malaysia tidak alami gelembung aset - Dr Zeti Akhtar

Bernama
Oktober 20, 2013 14:32 MYT
Tidak ada sebab untuk mempercayai bahawa aset Malaysia semakin menggelembung dan akan meletup, memandangkan negara ini sudah menangani pelbagai isu bagi menggelak risiko berkaitannya, kata Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Beliau berkata tiga siri langkah perlindungan makro sudah diperkenal tahun ini bagi mengelak pembentukan gelembung itu.
Dr Zeti mengulas soalan sama ada Malaysia sedang mengalami gelembung aset dan akan meletup jika ekonomi China tumbang selain kenaikan kadar faedah global, seperti yang dilaporkan oleh media asing sejak kebelakangan ini.
"Situasi pada masa ini berbanding 1997/1998 berbeza. Malaysia kini dalam kedudukan untuk berkembang," katanya pada sidang media sempena Persidangan Ulang Tahun ke-30 Bank-bank Pusat Asia Tenggara (SEACEN) bagi Penyepaduan dan Kestabilan Kewangan.
Dr Zeti berkata pemintaan domestik kini memacu pertumbuhan ekonomi dan Malaysia tidak termasuk dalam krisis kewangan global semasa.
"Kedudukan kewangan kita kekal berdaya tahan dan bekalan kredit tidak terganggu," katanya.
Pengantaraan kewangan akan diteruskan, dan pasaran kewangan terus berfungsi, katanya.
"Wujud keyakinan tinggi terhadap sistem kewangan negara. Semua ini meningkat berikutan tumpuan ke atas reformasi kewangan pada dekad ini yang mengukuhkan asas sistem kewangan kita," katanya.
"Kami yakin pertumbuhan kredit sudah menyederhana kepada kedudukan yang lebih stabil yang menyokong pertumbuhan ekonomi.
"Dan kami terus memantau keadaan," katanya.
#aset #Gabenor Bank Negara #Malaysia #SEACEN #Zeti Akhtar Aziz
;