Malaysia, Thailand akan galakkan penyelesaian perdagangan dalam mata wang tempatan

Bernama
Ogos 27, 2015 15:01 MYT
ZETI: Pembentukan rangka kerja ini akan merintis jalan ke arah integrasi kewangan dan ekonomi yang lebih meluas di rantau ASEAN.
Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT) akan menggalakkan penggunaan mata wang ringgit dan baht oleh sektor swasta untuk menyelesaian perdagangan dua hala dan pelaburan langsung.
Pengaturan ini akan mengurangkan risiko dedahan terhadap turun naik mata wang penyelesaian global dan untuk mengurangkan kos transaksi kepada sektor perniagaan, menurut BNM dan BOT dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Kedua-dua bank pusat itu hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung pembentukan rangka kerja kerjasama itu.
MoU itu ditandatangan oleh Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan rakan sejawat BOT, Dr Prasarn Trairatvorakul.
"Pembentukan rangka kerja ini akan merintis jalan ke arah integrasi kewangan dan ekonomi yang lebih meluas di rantau ASEAN.
"Pengaturan dua hala ini akan mengukuhkan lagi aliran perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara serta mendorong hubungan ekonomi yang lebih erat untuk kemajuan rantau ini," kata Zeti.
Sementara itu, Prasarn berkata pengaturan dua hala itu menandakan pencapaian penting bagi menyokong komitmen kedua-dua negara untuk menggalakkan penggunaan mata wang tempatan bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan dalam kalangan komuniti ASEAN.
"Saya percaya pengaturan ini akan mengukuhkan lagi kerjasama serta menggalakkan perkembangan ekonomi dan pelaburan di rantau ini," katanya.
#baht #Bank Negara #Bank of Thailand #BNM #bot #ringgit #Zeti Akhtar
;