Malaysia terus perjuangkan perdagangan bebas yang adil

Bernama
November 17, 2018 04:57 MYT
MAHATHIR: Semua industri baharu seperti kenderaan bermotor dan peralatan dapur perlu dilindungi.
Malaysia akan terus memperjuangkan perdagangan bebas yang adil bagi melindungi kepentingan negara-negara membangun, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata tidak menghairankan apabila negara-negara maju mahu "perdagangan bebas" atau "dunia globalisasi" diteruskan kerana idea tersebut datang daripada mereka sendiri dan dipengaruhi oleh syarikat multinasional yang memiliki banyak produk.
"Kalau kita nak masuk dalam bidang pembuatan, kita perlu melindungi industri kita. Kalau kita tidak dapat melindunginya kita tidak akan mungkin bersaing dengan negara maju.
"Tetapi memanglah negara maju tidak mahu supaya kita tidak dapat bersaing dengan mereka. Itulah pendapat yang berbeza kerana idea "perdagangan bebas" ini datang daripada mereka dan memang pun dibentuk untuk keperluan mereka," katanya kepada media Malaysia di sini pada Sabtu malam.
Realitinya, Dr Mahathir berkata kebanyakan syarikat dari negara-negara maju ingin mendapatkan pasaran yang lebih luas termasuk di negara-negara yang kurang maju.
Negara-negara membangun pula terhad kepada pengeluaran bahan mentah untuk dieksport tetapi walau banyak mana sekalipun tidak akan memajukan negara seperti Arab Saudi yang dapat mengeluarkan 11 juta tong minyak mentah sehari.
"Kita dapati negara yang kecil dan tidak membangun berasa takut untuk menyuarakan pandangan kerana takut dilakukan apa-apa kepada mereka. Kita juga takut, tetapi kalau kita tidak bersuara orang lain tidak bersuara. Maka negara maju dapat membuat apa sahaja sampai kita akan jadi miskin," katanya.
Menurut Dr Mahathir, semua industri baharu seperti kenderaan bermotor dan peralatan dapur perlu dilindungi.
"Semua ini jika kita mahu memasuki pasaran sekarang kita perlu melindungi diri kita. Jika tidak, kita tidak akan dapat bersaing dengan mereka. Mereka menjadi amat besar. Mereka mempunyai ekonomi skala besar manakala industri baharu tidak boleh mempunyai ekonomi skala besar."
Dr Mahathir mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-26 di sini dari 17-18 Nov.
-- BERNAMA
#ekonomi #globalisasi #Mahathir Mohamad #Malaysia #negara membangun #perdagangan
;