Malaysia terus jadi hab penting operasi global Intel

Fareez Azman
Februari 12, 2021 19:43 MYT
Susulan pandemik COVID-19, Intel Malaysia telah menyumbang RM4 juta dalam peralatan perubatan, peralatan perlindungan diri, komputer riba, barangan runcit dan makanan kepada komuniti.
KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 mengubah normal baharu kehidupan seharian setiap rakyat di seluruh dunia.
Dari sudut pendidikan, perniagaan sehinggalah ke sesi mesyuarat dalam talian, penggunaan peranti elektronik antara yang menjadi keutamaan bagi membendung rantaian COVID-19.
Menyedari terhadap perubahan drastik situasi ini, Naib Presiden Korporat Intel Corporation, Robin Martin berkata, Malaysia dilihat sebagai hab penting kepada operasi global syarikat teknologi itu untuk menyampaikan produk utama industri berkaitannya di seluruh dunia.
"Operasi syarikat Intel di Malaysia merupakan yang terbesar di rantau ini, dari segi pembuatan, reka bentuk, jualan, pemasaran serta Pusat Servis Perkhidmatan Perkongsian Global.
"Dunia kini lebih berhubung terutama ketika pandemik COVID-19, kita lihat banyak teknologi digunakan oleh setiap manusia di seluruh dunia. Kebanyakan peranti digunakan melibatkan kesihatan, pendidikan, komunikasi yang dikuasakan dengan Intel.
"Intel juga secara konsisten menyumbang 10 peratus kepada eskport produk elektrik dan elektronik Malaysia," katanya yang juga Pengarah Urusan Intel Malaysia dalam sidang media pada Khamis.
Jelasnya lagi, Malaysia berpotensi menjadi hab teknologi penting global dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan.
"Seperti yang kita ketahui, banyak negara semakin kompetitif dalam menarik pelabur dan itu sebabnya bekerjasama dengan kerajaan penting supaya perubahan menjadi kenyataan dan berlaku dengan cepat," katanya lagi.
Menyedari tahun 2020 menjadi tahun yang mencabar buat semua, Intel jelasnya terus mengembangkan kapasiti teknologi dari semasa ke semasa.
"Tahun lalu, kami telah mengembangkan kecekapan teknikal contohnya kami telah memulakan kilang percubaan teknologi maju yang menelan pelaburan sebanyak RM10 bilion.
"Sejak 30 tahun lalu, teknologi dibangunkan oleh tenaga kerja kami termasuk 4,000 jurutera menjadikannya antara yang terbesar di dunia. Malah kami juga mengajikan graduan tempatan sebagai sebahagian daripada pasukan reka bentuk dan pembuatan produk terbaharu Intel," katanya lagi.
Susulan pandemik COVID-19 juga jelasnya lagi, Intel Malaysia telah menyumbang RM4 juta dalam peralatan perubatan, peralatan perlindungan diri, komputer riba, barangan runcit dan makanan kepada komuniti.
#kerajaan #pendidikan #COVID-19 #pandemik #kesihatan #rakyat #pelaburan #operasi #perubatan #teknologi #Intel Malaysia #Naib Presiden #Hub teknologi
;