Malaysia terus dominasi pasaran terbitan sukuk pada 2021 - Moody's
Bernama
Januari 28, 2022 07:00 MYT
Januari 28, 2022 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Terbitan sukuk Pasaran Baru Muncul (EM) meningkat hampir lapan peratus kepada sekitar AS$160 bilion (AS$1=RM4.19) pada 2021 daripada AS$149 bilion pada 2020, disokong oleh peningkatan aktiviti dalam ruang berdaulat dan korporat, menurut Moody's Investors Service.
Dalam penerbitan penyelidikannya, 'EM Issuance Monitor - Suku Keempat 2021, Moody's berkata Malaysia dan Arab Saudi terus mendominasi pasaran terbitan sukuk masing-masing dengan 37 peratus dan 29 peratus daripada jumlah terbitan.
Terbitan sukuk hijau menawarkan potensi besar untuk pertumbuhan masa depan, penerbitan sukuk dari Malaysia dan Indonesia menerajui ruang ini tetapi Arab Saudi juga semakin dominan, katanya.
"Terbitan sukuk hijau meningkat daripada asas yang sangat rendah. Terbitan hijau, sosial dan lestari pada 2021 adalah 160 peratus lebih tinggi daripada paras tahun sebelumnya dan didominasi oleh terbitan Asia Pasifik.
"Terbitan korporat terus memacu pertumbuhan dalam pasaran mampan EM pada 2021 yang berjumlah AS$29 bilion dengan terbitan berdaulat meningkat (AS$23 bilion) manakala kumpulan institusi kewangan berjumlah AS$18 bilion," kata Moody's.
-- BERNAMA