Malaysia-Singapura meterai perjanjian RTS
Bernama
Januari 16, 2018 12:13 MYT
Januari 16, 2018 12:13 MYT
Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian dua hala bagi projek Rapid Transit System (RTS) Link, antara Johor Bahru dan Singapura sejauh empat kilometer, pada Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia kelapan di sini.
Sistem MRT rentas sempadan itu, yang diumumkan pada 2010, akan beroperasi dari Bukit Chagar di Johor ke stesen Woodlands North di Singapura.
RTS Link mampu mengangkut sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah apabila siap pada 2024.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian oleh Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur dan Pengangkutan republik itu, Khaw Boon Wan, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan di Istana, di sini.
RTS dijangka mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua negara kepada 30 minit berbanding lebih sejam pada masa ini. -- Bernama