Malaysia sedia manfaatkan pasaran pembuatan peranti perubatan
Bernama
Julai 26, 2024 05:40 MYT
Julai 26, 2024 05:40 MYT
BATU KAWAN: Malaysia memiliki landskap pembuatan dan pemboleh yang tepat untuk memanfaatkan prospek cerah industri peranti perubatan global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata nilai industri peranti perubatan global diunjurkan meningkat kepada AS$887 bilion menjelang 2032 daripada AS$542 bilion yang diunjurkan bagi 2024.
"Malaysia mempunyai faktor yang diperlukan -- asas kukuh, ekosistem yang berkembang maju, kesungguhan politik -- untuk menjana pertumbuhan pesat industri pembuatan kita dengan melibatkan pihak pemegang kepentingan utama, khususnya peserta industri itu sendiri.
"Negara ini boleh menjadi hab pembuatan untuk peranti perubatan, membolehkan jenama global memenuhi (permintaan) pasaran Asean yang mempunyai 670 juta penduduk atau pasaran Asia dengan 4.7 bilion orang," katanya pada majlis pecah tanah kemudahan pembuatan Plexus Corp di sini, pada Jumaat.
Kemudahan pembuatan keenam Plexus Corp iaitu Plexus Bridgeview itu adalah yang keenam di Pulau Pinang.
Tengku Zafrul berkata majlis hari ini merupakan satu lagi langkah ke arah menggerakkan rancangan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
Beliau berkata tumpuan Plexus kepada peralatan modal semikonduktor, serta sektor penjagaan kesihatan dan sains hayat adalah sejajar dengan sektor keutamaan berdasarkan NIMP 2030.
"Ini akan mewujudkan ekosistem pembuatan yang kukuh, dipacu oleh perkongsian dinamik antara syarikat global terkemuka dan firma Malaysia, digerakkan oleh bakat bertaraf dunia.
"Inilah yang akan menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan dan perkhidmatan untuk Asia," katanya.
Presiden Wilayah Plexus, Victor Tan berkata pembinaan kemudahan Plexus Bridgeview baharu itu menunjukkan komitmen pihaknya terhadap pertumbuhan di negara ini selain menyediakan peluang luas untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat dalam kalangan pelanggan.
Beliau berkata usaha itu juga memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana tempatan.
Kemudahan canggih terletak di kawasan seluas 8.09 hektar itu akan meliputi infrastruktur terkini yang melibatkan pelaburan kira-kira RM1 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang, katanya.
"Perluasan ini juga akan mencipta kira-kira 1,800 peluang pekerjaan baharu bagi pekerjaan berkemahiran tinggi di negara ini," katanya.
Plexus telah berkembang dengan menggaji lebih 10,000 orang sejak penubuhannya di Malaysia lebih 20 tahun lepas,
Sementara itu, menerusi kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pihaknya gembira menyaksikan amanah dan komitmen Plexus untuk mengembangkan operasi di Malaysia menerusi pembinaan kilang pembuatan keenam itu.
"Kita teruja dengan peluang yang akan dibawa oleh pelaburan ini untuk Plexus, penduduk tempatan, dan industri, dan kami mengharapkan kemajuan berterusan Plexus di Malaysia," jelasnya.
-- BERNAMA