Malaysia sasar capai sifar eksport MSM, tingkat keluaran produk hiliran - Johari Ghani

Bernama
Februari 24, 2025 16:35 MYT
Johari berkata daripada 19.3 juta tan MSM dihasilkan pada 2024, hanya 3 juta tan dieksport manakala selebihnya diproses menjadi produk hiliran. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berhasrat untuk memastikan Malaysia dapat mencapai sifar eksport minyak sawit mentah (MSM) pada masa depan melalui usaha memperbanyakkan pengeluaran produk hiliran.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata daripada 19.3 juta tan MSM dihasilkan pada 2024, hanya 3 juta tan dieksport manakala selebihnya diproses menjadi produk hiliran.
Sehubungan itu, katanya, KPK merancang untuk memastikan keseluruhan MSM negara diproses secara tempatan untuk menghasilkan 80 peratus minyak masak dan bahan produk makanan selain baki 20 peratus untuk kegunaan industri.
"Kita mempunyai ekosistem yang bagus. Dulu (misalnya), 80 peratus hasil MSM kita eksport ke luar negara, tapi sekrang ini diproses di 53 kilang penapisan.
"Ia juga diproses menjadi oleokimia di 21 kilang dan kita juga mempunyai 19 kilang biodiesel," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas selanjutnya, Johari turut meminta pemain industri untuk membuka kilang oleokimia di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai kemudahan itu pada masa ini.
Ini juga, katanya, sejajar dengan kedudukan dua negeri itu menawarkan potensi besar bagi pembangunan industri hiliran berikutan 3.1 juta hektar daripada 5.7 juta hektar penanaman sawit di Malaysia, adalah di Sabah dan Sarawak.
Menyentuh usaha penanaman semula sawit di peringkat negara, Johari berkata ia berada pada kadar rendah iaitu 2.0 peratus berbanding keperluan 4.0 peratus.
Sehubungan itu, Malaysia perlu meningkatkan usaha penanaman semula, malah KPK bersedia mengajukan permohonan kepada kerajaan bagi peruntukan tambahan jika wujud keperluan sedemikian.
Kerajaan memperuntukkan bantuan RM100 juta untuk inisiatif penanaman semula bagi memastikan hasil sawit tidak terjejas akibat faktor pokok sawit yang menua.
Semua usaha kerajaan juga bagi memastikan minyak sawit mampu bersaing dengan minyak soya yang kini pada harga rendah.
Bagi getah, Johari berkata kementerian akan terus giat menjalankan usaha membantu pekebun kecil melalui pelbagai insentif untuk meningkatkan pengeluaran getah asli negara.
"Pekebun kecil aktif ini menoreh sebanyak 348,000 tan dan kita akan pastikan mereka ada insentif iaitu insentif pengeluaran getah, pengeluaran lateks selain perkenalkan penggunaan teknologi baharu.
"Aspek lain adalah amalan pertanian baik seperti baja berkualiti yang boleh meningkatkan pengeluaran susu getah serta benih yang bagus," katanya.
Beliau berkata industri hiliran memerlukan sebanyak 1.6 juta tan getah asli walaupun pekebun kecil hanya mengeluarkan sejumlah 350,000 tan yang menyebabkan Malaysia mengimportnya dari Vietnam, Thailand dan Ivory Coast bagi menampung keperluan berkenaan.
"Lembaga Getah Malaysia LGM akan giat melaksanakan penyelidikan untuk menghasilkan klon-klon getah baharu berprestasi tinggi serta daya tahan penyakit yang tinggi.
"Apabila kita dapat kluster-kluster (yang baik), ini membantu mengurangkan (keperluan) import," katanya.
-- BERNAMA
#sifar eksport #minyak sawit mentah #Kementerian Perladangan dan Komoditi #produk hiliran #JOHARI ABDUL GHANI
;