KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat untuk memanfaatkan peluang dengan meningkatkan kerjasama ekonomi dengan Perikatan Pasifik, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

Beliau menekankan tumpuan kerjasama itu menjangkau perdagangan dan pelaburan.

"Seperti yang sering diketengahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita sedang melihat peluang kerjasama dan inovasi, terutama dalam memacu industri pembinaan tempatan ke fasa baharu," katanya pada Seminar Mengenai Peluang Perniagaan dalam Perikatan Pasifik, pada Selasa.

Menurut Liew, ketika Malaysia meneruskan penglibatan dengan rakan kongsi utama seperti Amerika Syarikat dan China, negara sedang berusaha untuk meluaskan skopnya di luar hubungan ekonomi dua hala tradisional dengan negara-negara ini.

Memandangkan Malaysia bersiap siaga sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, beliau berharap lebih banyak kemajuan akan dicapai dengan segala cadangan dan maklumat yang diperoleh.

"Saya melihat ia sebagai satu peluang. Jawatan sebagai Pengerusi ASEAN yang bakal disandang Malaysia tiba ketika dunia sedang bergelut untuk membentuk orde global seterusnya.

"Ini adalah peluang untuk kita mencapai lebih banyak lagi. Saya berharap penglibatan lebih mendalam dengan Perikatan Pasifik dan peluang untuk meneroka bagaimana kita boleh membentuk rangka kerja sama global pada masa depan secara kolaboratif," katanya. - BERNAMA