Malaysia perlu pertingkat bakat bidang teknologi bagi pacu fintech Islam - microLEAP

Bernama
Oktober 26, 2021 07:39 MYT
Pengasas merangkap CEO microLEAP Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar bercakap pada Persidangan Fintech SCxSC Kelapan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di Kuala Lumpur, 26 Okt, 2021. - Facebook Microleap
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu bertindak menambah baik aspek teknologi dalam usaha memacu teknologi kewangan (fintech) Islam, kata Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) microLEAP Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar.
Menurutnya, walaupun kelompok bakat atau pekerja dalam industri fintech adalah mencukupi dari segi pengetahuan Syariah, namun kekurangan itu masih ketara dalam bidang teknologi berkaitan.
"Malaysia mempunyai ramai lulusan daripada universiti Islam dan berpengetahuan dalam bidang Syariah. Sebaliknya, apa yang kurang adalah bakat dalam bidang teknologi terbabit.
"Dari sudut teknologi juga, banyak wang yang mengalir ke Singapura dan negara-negara lain kerana mempunyai kemahiran dalam teknologi.
"Malaysia sebaliknya amat mahir dalam aspek kewangan Islam dan kita perlu bertindak untuk mengenal pasti penghubung yang boleh menyatukan kewangan Islam dan teknologi," katanya pada Persidangan Fintech SCxSC Kelapan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini, semalam.
Mengulas selanjutnya, Tunku Danny berkata rangka kerja pengawalseliaan berkaitan juga wujud dan menyifatkan SC dan Bank Negara Malaysia (BNM) di landasan tepat manakala Malaysia merupakan lokasi hebat untuk mewujudkan syarikat-syarikat fintech Islam.
Malah, beliau berkata fintech Islam turut mendapat permintaan tinggi di Malaysia dan keadaan ini diunjur meningkat secara ketara apabila lebih ramai pihak menyedari mengenai fungsinya dengan tepat serta tindakan yang boleh diambil.
Sementara itu, Ketua Platform Halal Bersepadu (HIP) Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) Hafiz Jamaluddin berkata penerimagunaan teknologi merupakan satu cabaran, bukan hanya untuk syarikat fintech tetapi juga untuk kalangan mereka yang terbabit dalam industri halal.
Sehubungan itu, beliau berkata para penggiat industri tersebut perlu bertindak meningkatkan usaha dan terus mendidik orang ramai serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan golongan tersebut sentiasa menyedari mengenai kewujudan serta manfaat fintech.
"Selepas beberapa sesi libat urus dengan PKS, kita mendapati mereka sebenarnya masih kurang tahu atau faham mengenai apa sebenarnya fintech ini. Mereka tidak tahu mengenai manfaat yang boleh dijana daripada fintech kerana perkara ini adalah sesuatu yang baharu untuk mereka...inilah perkara yang perlu kita tangani.
"Bagi saya, permintaan itu memang ada. Cuma, kita perlu bantu untuk mewujudkan permintaan itu bagi mereka dan ini yang HIP mahu lakukan. Kita turut bekerjasama dengan microLEAP untuk turun ke padang dan berkongsi maklumat mengenai fintech dengan mereka," katanya.
-- BERNAMA
#Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar #teknologi kewangan Islam #fintech Islam #industri halal
;