Malaysia perlu manfaatkan pelbagai sumber modal menerusi pelaburan hijau - MITI

Bernama
Februari 14, 2024 07:30 MYT
Menurut MITI, Malaysia telah menetapkan sasaran yang jelas ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal tahun 2050.
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memanfaatkan pelbagai sumber modal termasuk menerusi pelaburan hijau yang lebih kompetitif dan dilihat selari dengan trend pelaburan global semasa yang memberi penekanan terhadap aspek persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG).
Kementerian Pelaburan, Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata ini kerana usaha peralihan tenaga memerlukan pembiayaan yang besar, dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM1.2 trilion sehingga RM1.3 trilion menjelang 2050.
"Di peringkat awal, bagi tahun 2023 sehingga tahun 2029, dianggarkan RM250 sehingga RM280 bilion diperlukan untuk merealisasikan inisiatif ini," kata kementerian tersebut dalam satu kenyataan pada Rabu..
Menurut MITI, Malaysia telah menetapkan sasaran yang jelas ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal tahun 2050, sebagaimana yang digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).
Sehubungan itu, satu Jawatankuasa Pemandu Kajian Strategi dan Pelaksanaan Pelaburan Hijau telah diwujudkan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Jawatankuasa Pemandu itu turut disertai wakil daripada Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, PETRA, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, manakala MITI merupakan sekretariat kepada jawatankuasa tersebut.
Jawatankuasa itu berpandangan dalam usaha memperkasa strategi menarik pelaburan hijau satu kajian jangka masa singkat perlu dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan peralihan tenaga yang lebih berkesan, teratur dan sistematik, yang seterusnya akan dapat meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama.
Selain itu, jawatankuasa tersebut juga bersetuju supaya skop kajian turut diperluaskan untuk merangkumi aspek kerangka perundangan bagi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
"Ini mengambil kira pengiktirafan kerajaan terhadap aktiviti CCUS sebagai salah satu strategi baharu pertumbuhan hijau dan rendah karbon negara," kata MITI.
Justeru, terdapat keperluan bagi mewujudkan satu kerangka perundangan berkaitan tadbir urus CCUS bagi membolehkan semua pihak yang berkepentingan jelas dengan hala tuju Malaysia dalam pertumbuhan hijau.
"Ia sekali gus mendukung aspirasi pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050," kata MITI.
Sementara itu, Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kajian jangka masa pendek itu adalah satu langkah tepat dan merupakan titik tolak kepada perangkaan strategi dan pelan pelaksanaan bersasar bagi menggerakkan agenda pelaburan hijau negara yang lebih berkesan, teratur dan sistematik.
Pelaksanaan kajian itu merupakan pelengkap kepada NIMP dan NETR yang mengenal pasti senarai peluang pelaburan hijau berdasarkan enam tahap peralihan tenaga di bawah NETR.
Kajian itu juga mengenal pasti senarai keutamaan pelaburan hijau; sinergi antara peluang pelaburan hijau dan sektor yang dikenal pasti; penyetempatan peluang; serta peluang pelaburan hijau yang bakal direalisasikan menerusi formulasi strategi bagi sektor sedia ada.
-- BERNAMA
#sumber modal #pelaburan hijau #MITI #ESG
;