Malaysia perlu lebih banyak langkah untuk nilai pencapaian dasar, inisiatif - Bank Dunia
Bernama
Oktober 28, 2023 05:45 MYT
Oktober 28, 2023 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Membangunkan langkah-langkah untuk menilai pencapaian dasar dan inisiatif adalah penting bagi negara dalam merealisasikan matlamat Malaysia MADANI, kata pengurus negara Bank Dunia untuk Malaysia Yasuhiko Matsuda.
Beliau berkata rangka kerja Ekonomi MADANI boleh menjadikan rancangan lain yang diperkenalkan oleh kerajaan lebih bermakna tetapi berpendapat Malaysia masih kurang dalam penelitian awam tentang apa yang telah dilakukan pada masa lalu, terutamanya dengan dana awam.
"Sekurang-kurangnya (terdapat) 35 entiti kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri dengan sejumlah 101 program untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan saya tidak mengetahui sekiranya ada apa-apa penilaian yang ketat untuk pastikan inisiatif ini mencapai objektifnya.
"Jadi sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan pelaksanaannya berjalan, dan satu-satunya cara yang kita tahu ialah dengan melihat pelaksanaan itu sendiri dan menilai kesannya," katanya pada Forum Ekonomi Belia 2023.
Di bawah Ekonomi MADANI, Malaysia menyasar untuk melonjakkan ekonominya menjadi antara 30 terbesar dunia dalam tempoh kurang 10 tahun daripada tempat ke-37 pada 2022.
Selain meletakkan Malaysia sebagai 30 ekonomi utama teratas, rangka kerja Ekonomi MADANI juga menetapkan enam penanda aras jangka sederhana lain untuk dicapai dalam tempoh 10 tahun.
Ini termasuk berada dalam 12 teratas Indeks Daya Saing Global; pampasan pekerja mencapai 45 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 ialah 40 peratus menjelang 2025); penyertaan wanita dalam tenaga kerja pada 60 peratus; 25 teratas dalam Indeks Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu; 25 teratas dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah; dan kemampanan fiskal dengan defisit fiskal adalah tiga peratus atau kurang.
"Banyak elemen Madani sudah ada pada tahap yang lebih konkrit. Jadi jika kerajaan boleh melaksanakan sepenuhnya pelan atau sebahagian daripada inisiatif itu, anda akan melihat banyak kemajuan di sepanjang perkembangan itu," katanya.
-- BERNAMA