Malaysia perlu kembangkan pasaran dalam blok negara tidak dianggotai AS - Penganalisis

Irfan Faruqi
Februari 4, 2025 21:54 MYT
Barjoyai dalam program Agenda AWANI berkata Malaysia perlu mengembangkan pasaran dalam blok-blok negara dunia yang tidak dianggotai Amerika Syarikat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mula bergiat aktif dan mengembangkan pasaran dalam blok-blok negara dunia yang tidak dianggotai Amerika Syarikat bagi mengelakkan terbeban dengan dasar perdagangan presiden Donald Trump.

Ringkasan AI
  • Mengembangkan Pasaran dalam Blok Ekonomi Lain: Malaysia perlu aktif dalam blok seperti RCEP, CPTPP, dan BRICS untuk mengurangkan kebergantungan kepada Amerika Syarikat.
  • Memperluas Pasaran dalam ASEAN: Proaktif dalam mencari potensi lain dengan mengembangkan pasaran dalam ASEAN.
  • Mengurangkan Kebergantungan kepada Amerika Syarikat: Dengan memperluas aktiviti ekonomi dalam blok-blok yang tidak melibatkan Amerika Syarikat, Malaysia dapat mengurangkan risiko terjejas oleh dasar perdagangan Amerika Syarikat.

Provost Malaysia University of Science & Technology (MUST), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata blok-blok berkenaan termasuklah blok negara anggota kepada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
“Kita perlu secara proaktif bersedia untuk melihat potensi lain dengan mengembangkan pasaran Malaysia dalam ASEAN.
“Kita perlu kembangkan aktiviti ekonomi kita dengan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang tidak melibatkan Amerika Syarikat.
“Kita juga perlu aktif dengan BRICS (pakatan Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan). Semua ini akan beri peluang mendedahkan Malaysia dalam pasaran baharu dan secara perlahan-lahan mengurangkan kebergantungan kita kepada Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Malaysia perlu kembangkan pasaran dalam blok negara tidak dianggotai AS - Penganalisis
Tambah Barjoyai, walaupun nilai eksport Malaysia ke Amerika Syarikat secara relatifnya kecil, negara berkenaan merupakan antara pasaran yang ingin ditembusi Malaysia dalam bidang ekonomi baharu.
Oleh itu, dasar perdagangan Trump dilihat akan menjejaskan cita-cita ekonomi negara.
"Malaysia merupakan sebuah ekonomi terbuka dengan 80 peratus eksport dan hampir 80 peratus import, maka kita akan terdedah kepada aspek (perang dagang) ini.
“Walaupun kita hanya eksport AS$40 bilion tetapi banyak industri baharu yang sedang dikembangkan termasuk semikonduktor dan elektrik dan elektronik (E&E). Kita harapkan untuk kembangkan pasaran kita di Amerika Syarikat,” jelasnya.
Untuk konteks, setakat 2023 Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melaporkan, Amerika Syarikat merupakan destinasi eksport ketiga terbesar Malaysia, dibelakang Singapura dengan nilai eksport RM219.30 bilion dan China (RM192.21 bilion).
Agenda AWANI: Perang Dagang Global, Apa Nasib Kita?
#Amerika Syarikat #ASEAN #BRICS #Matrade #Donald Trump #CPTPP #RCEP #perdagangan
;