Malaysia perlu beri keutamaan kepada pembaharuan struktur - BNM
Bernama
Mac 30, 2022 13:13 MYT
Mac 30, 2022 13:13 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memberi keutamaan kepada pembaharuan struktur dengan penekanan diberikan kepada aspek kemampanan, pendigitalan dan keterangkuman untuk meningkatkan ekonomi dan daya tahan untuk pekerjaan pada masa depan, selain meningkatkan keupayaan daya saing masa depan, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Gabenor Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, aspek ini perlu diterapkan dalam bidang pembaharuan utama termasuk mengukuhkan kapasiti inovasi, menambah baik dasar pasaran buruh yang aktif dan sistem perlindungan sosial serta meningkatkan kerumitan ekonomi.
"Ini perlu menjadi keutamaan yang perlu kita lihat secara serius tentang bagaimana kita dapat bergerak dalam bidang ini. Ini bukannya tiada apa yang dilakukan dalam bidang ini.
"Rancangan Malaysia Ke-12 dan malah Bajet 2022 telah menekankan inisiatif untuk memacu pertumbuhan yang diterajui inovasi dan hijau serta memangkin industri berimpak tinggi selain mengukuhkan keupayaan digital.
"Kita telah menyaksikan kemajuan dalam aspek ini tetapi kita perlu memberi penekanan yang lebih besar untuk mempercepatkan pelaksanaan pelan ini," katanya dalam taklimat media secara maya sempena terbitan Laporan Tahunan BNM 2021, Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2021 serta Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2021 hari ini.
Nor Shamsiah berkata terdapat peluang dalam setiap krisis dan negara perlu mengekalkan tumpuannya kepada pelaksanaan pembaharuan struktur yang tepat pada masanya untuk menjamin pertumbuhan yang tahan lama dan memastikan daya tahan ekonomi pada masa depan.
Beliau berkata pandemik COVID-19 telah memberi penekanan kepada keperluan mendesak untuk memperbaharui sistem perlindungan sosial.
"Ia perlu bermula sekarang," katanya.
-- BERNAMA