Malaysia perlu ada perjanjian perdagangan dengan China dan AS - Bank Dunia

Bernama
Mac 31, 2023 16:46 MYT
Malaysia perlu mempunyai perjanjian perdagangan dengan China dan Amerika Syarikat (AS) daripada tertinggal dalam sebarang bentuk perjanjian. - Wikipedia
KUALA LUMPUR: Adalah lebih baik untuk Malaysia mempunyai perjanjian perdagangan dengan China dan Amerika Syarikat (AS) daripada tertinggal dalam sebarang bentuk perjanjian atau menjadi sebahagian daripada blok perdagangan yang eksklusif, kata Kumpulan Bank Dunia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia, Rantau Asia Timur dan Pasifik Aaditya Mattoo berkata ekonomi AS dijangka menjadi lebih perlahan tahun ini, manakala China akan berkembang pada kadar yang lebih laju iaitu 5.1 peratus, meningkat berbanding tiga peratus tahun lepas, ini akan membolehkan Malaysia mengimbangi kesan negatif yang terhasil akibat kelembapan AS.
"Sedikit sebanyak, kesan daripada perang perdagangan AS-China mungkin ada manfaatnya. Sebagai contoh, sesebuah negara dapat mengambil peranan China apabila mengeksport lebih banyak ke pasaran AS. Ia mengimport banyak dari China dan mengeksport kembali ke AS," katanya semasa webinar laporan Kemas Kini April Ekonomi Bank Dunia Asia Timur dan Pasifik 2023 hari ini.
AS dan China, masing-masing merupakan rakan dagang yang terbesar di kalangan mereka telah mengalihkan perdagangan ke negara ketiga selepas tercetus perang ekonomi di antara kuasa-kuasa besar itu.
Kumpulan Bank Dunia melaporkan perjanjian perdagangan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) telah membantu memperdalamkan banyak integrasi rantau ini dengan China, manakala Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) mempunyai tujuan yang sama ke arah AS tetapi gagal mencapai integrasi, manakala cadangan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik tidak dimaksudkan menjadi perjanjian perdagangan tradisional.
Mattoo berkata analisis empirikal mendapati RCEP serta CPTPP mampu mengimbangi kerugian global yang ditanggung akibat perang perdagangan AS-China, tetapi bukan kerugian China dan AS secara individu, yang berisiko menjadi "spokes" disebabkan jurang ekonomi yang semakin bertambah di antara mereka.
Kemas kini ekonomi juga menunjukkan bahawa selepas AS serta China mengenakan sekatan perdagangan antara satu sama lain, eksport dari kedua-dua negara ke beberapa ekonomi Asia Timur dan Pasifik termasuk Malaysia, meningkat.
"Bagaimanapun, terdapat empat masalah. Pertama, berbanding kemantapan ekonomi serta laluan perdagangan yang boleh dijangkakan, ketidaktentuan dalam politik dilihat telah membentuk corak perdagangan dan ini membawa kepada persekitaran dasar yang kurang menentu malah, ketidakpastian ini sebenarnya boleh menghalang pelaburan. Kedua, peralihan daripada perdagangan berasaskan peraturan kepada perdagangan yang lebih bermotifkan politik adalah kurang baik bagi pertumbuhan dan pelaburan jangka panjang.
"Isu-isu lain adalah standard yang berbeza, contohnya, mengenai tadbir urus data, yang boleh mencetuskan pasaran bersegmen dan oleh itu skop bagi negara ketiga untuk mengeksploitasi skala ekonomi dalam pasaran global bersepadu akan terjejas.
"Akhir sekali, sekatan eksport bukan hanya merencatkan perdagangan dua hala tetapi memberi kesan ke atas destinasi, sebagai contoh, semikonduktor akhirnya akan habis dijual atau produk yang menggabungkan semikonduktor dari sesebuah negara akhirnya akan habis terjual atau sumber utama input dan produk semasa yang akan diimport," katanya.
Mattoo menekankan bahawa sekatan jenis ini boleh mengganggu perdagangan dengan ketara, terutamanya di rantau yang berkaitan dengan rantaian nilai global dan juga yang sangat terintegrasi ke dalam rantaian nilai global, baik dengan AS atau China.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #China #perdagangan #perjanjian #Malaysia
;