Malaysia pada landasan betul catat pertumbuhan KDNK lima peratus pada 2023
Bernama
Julai 7, 2023 20:51 MYT
Julai 7, 2023 20:51 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia berada di landasan betul untuk mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak lima peratus tahun ke tahun pada 2023 berikutan permintaan domestik yang berdaya tahan, kata RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).
Bank pelaburan itu mengekalkan unjuran lima peratus berbanding jangkaan konsensus Bloomberg sebanyak 4.2 peratus dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak empat hingga lima peratus.
"Kami menjangkakan KDNK akan berkembang 5.2 peratus tahun ke tahun pada separuh kedua 2023 berbanding 4.6 peratus pada separuh pertama 2023 dengan pertumbuhan separuh kedua susulan permintaan domestik yang berdaya tahan.
"Kami mengekalkan pandangan kami bahawa momentum perdagangan berkemungkinan memberi petunjuk peningkatan menjelang awal separuh kedua 2023 seiring dengan pandangan mengenai pemulihan global separuh kedua 2023 kami," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, RHB IB juga mengekalkan unjuran inflasi 2023 dan teras inflasinya masing-masing pada tiga peratus tahun ke tahun dan 3.5 peratus tahun ke tahun dengan unjuran inflasi utama separuh kedua pada 2.6 peratus berbanding 3.4 peratus tahun ke tahun untuk lima bulan pertama 2023.
"Momentum inflasi indeks harga pengguna (IHP) teras dijangka kekal kekal menjelang suku ketiga 2023 dalam persekitaran tekanan permintaan domestik berdaya tahan dan kadar faedah rendah yang berpanjangan," katanya.
Mengenai ringgit pula, ia mengunjurkan unit tempatan itu akan berada di bawah tekanan pada separuh kedua 2023 berbanding dolar AS yang berkemungkinan meningkat, memandangkan perbezaan kadar faedah yang semakin melebar antara Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan Kadar Dana Persekutuan (FFR) .
"FFR berkemungkinan meningkat kepada paras tertinggi antara 5.50-5.75 peratus menjelang separuh kedua 2023 dan ringgit pula mungkin berprestasi rendah berbanding mata wang lain di Asia Tenggara kerana pemangkin aliran modal ke pasaran lain mungkin lebih menarik berbanding Malaysia disebabkan kerajaan berada di peringkat awal untuk mengumumkan pembaharuan struktur untuk mewujudkan iklim pelaburan yang lebih kondusif," katanya.
Sehubungan itu, ia mengekalkan unjuran OPR pada 2023 pada 3.25 peratus berbanding tiga peratus semasa.
Walaupun BNM tidak menaikkan OPR dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bulan Julai, kenaikan sekali lagi sebanyak 25 mata asas (bps) pada 2023 berkemungkinan akan berlaku, katanya.
-- BERNAMA