Malaysia negara berpendapatan tinggi pada 2026 - Rafizi
Nailah Huda
Februari 15, 2023 15:22 MYT
Februari 15, 2023 15:22 MYT
PUTRAJAYA: Malaysia dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh tiga tahun lagi, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Namun, jelas Ahli Parlimen Pandan itu, pencapaian itu bergantung kepada dua faktor utama iaitu kadar pertukaran mata wang asing serta pertumbuhan ekonomi tahunan yang kekal sekitar 4 hingga 5 peratus.
“Kalau pertumbuhan ekonomi kekal pada kadar 4-5 peratus, kita betul-betul ‘on track’.
“Kalau [pertumbuhan] ini berjalan dengan baik, kita boleh capai status negara berpendapatan tinggi seawal 2026,” katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Rabu.
Malah, kata Rafizi, sekiranya kadar mata wang negara mengukuh dan pertumbuhan ekonomi meningkat pada kadar yang lebih tinggi, negara berkemungkinan mencapai status itu dengan lebih cepat.
Beliau, bagaimanapun, menegaskan bahawa kerajaan perlu merancang ekonomi dengan mengambil kira keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan peningkatan gaji.
“Kalau ada ruang untuk pentadbiran baharu ini berkhidmat dengan lebih baik, ia dari segi perancangan ekonomi, dari segi keseimbangan supaya kita tidak terbawa-bawa semata-mata dengan angka pertumbuhan demi pertumbuhan yang diumumkan setiap tahun.
Sehubungan itu, Kementerian Ekonomi bakal melancarkan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) pada 26 Februari depan dalam usaha untuk meningkatkan gaji rakyat selaras dengan kos sara hidup.