Malaysia muncul negara paling menarik di rantau Asia Tenggara untuk pelaburan asing
Bernama
Januari 28, 2022 12:26 MYT
Januari 28, 2022 12:26 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara paling menarik di rantau Asia Tenggara untuk pelaburan asing, didorong oleh kejayaan negara menarik lebih RM220 bilion pelaburan yang diluluskan pada 2021 untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan, demikian menurut Indeks Peluang Global (GIO) Milken Institute 2022.
Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ini adalah bukti seterusnya kepada keazaman, komitmen dan usaha proaktif kerajaan dalam membangunkan dasar yang kukuh serta cekap dan sentiasa memacu pembaharuan domestik.
"Komitmen itu akhirnya telah melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dan tanpa ragu-ragu menandakan keyakinan kukuh pelabur asing dalam ekosistem perniagaan yang cekap serta ekonomi rancak kita," katanya.
Indeks yang dikeluarkan semalam melaporkan bahawa Malaysia memperoleh tempat teratas berikutan prestasi kukuhnya merentas semua kategori yang diukur, iaitu mempunyai prestasi ekonomi yang mantap selain menawarkan tenaga kerja yang berkelayakan tinggi dan bersepadu teguh dengan ekonomi global.
Azmin berkata ini jelas menunjukkan kejayaan usaha besar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam melaksanakan dasar yang memastikan ketersediaan bakat dan perlindungan serta penghasilan pekerjaan untuk ekonomi.
"Mencari peluang secara agresif terutamanya dalam bidang pertumbuhan baharu, memacu kerjasama yang lebih erat dengan industri dalam inisiatif peningkatan dan kemahiran semula serta menarik lebih banyak pelaburan strategik ke dalam negara akan kekal menjadi tumpuan MITI dalam memastikan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing paling menarik.
Malah, laporan itu juga menjelaskan bahawa Malaysia mengambil langkah untuk melonggarkan sekatan dan menggubal dasar untuk memanfaatkan pembangunan perdagangan, sekali gus membantu negara ini berada di kedudukan pertama dalam indeks berkenaan, katanya.
Azmin berkata langkah-langkah ini bertindak sebagai pendorong untuk memimpin negara ke arah peningkatan inovasi, penghasilan pekerjaan dan daya saing global.
"Ini diselaraskan dengan komitmen kita dalam mengukuhkan rangka kerja institusi dan memperdalam integrasi serantau melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA) mega seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang akan diratifikasi tidak lama lagi," katanya.
-- BERNAMA