Malaysia mula menguasai fintech sejak 2016 - Backbase
Astro Awani
Oktober 27, 2021 22:04 MYT
Oktober 27, 2021 22:04 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia yang dilihat mengikuti jejak langkah Singapura dan Hong Kong sebenarnya telah mula menguasai revolusi teknologi kewangan ‘fintech’ sejak lima tahun lalu.
Menurut Pengarah Serantau Asia Backbase, Riddhi Dutta, secara adilnya, trend sistem perbankan di Malaysia telah mula dipacu oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sejak 2016.
“Ia selepas Bank Negara Malaysia merangka keseluruhan pelan kerja dan ia menjadi pemacu asas bagi perbankan digital di Malaysia.
“Ia memberi peluang kepada syarikat teknologi kewangan ‘fintech’di Malaysia dan seluruh rantau ini untuk mengawal selia fleksibiliti untuk menguji kaji sistem penyelesaian terhadap pelanggan dengan menggunakan teknologi.
“Jadi, kita semua tahu bahawa Bank Negara telah cuba menghasilkan lima lesen perbankan digital yang baharu dan ia ada tarikannya sendiri,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Namun, jelas Riddhi lagi, bank-bank tradisional yang ada ketika ini sebenarnya turut tidak ketinggalan dalam melahirkan inisiatif terhadap sistem pendigitalan sendiri secara belakang tabir.
“Jadi bukan sahaja bank-bank baharu yang akan cuba mendapatkan lesen, malah bank-bank tradisional yang patuh syariah turut melakukan beberapa insiatif tersebut.
“Kebanyakannya pada penyediaan pinjaman, pembiayaan dan kredit dan itulah yang sangat mengujakan apabila bercakap tentang apa yang berlaku di Malaysia mengenai jenis rangka kerja perbankan digital hari ini,” tambah beliau lagi.
Niaga AWANI: Future of Banking | Meeting expectation of digital finance