Malaysia menyerlah dengan prestasi ekonomi kukuh - Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun

Bernama
Januari 19, 2024 07:45 MYT
Landskap ekonomi Malaysia mempamerkan pertumbuhan yang luar biasa dalam keuntungan operasi dan kecenderungan positif terhadap pengembangan perniagaan dan amalan ESG. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia tetap menyerlah dengan prestasi ekonomi yang kukuh dalam persekitaran perlu mengharungi pelbagai cabaran yang unik, kata Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro).
Menerusi tinjauan oleh Jetro, dinamakan "Prestasi Perniagaan Syarikat Jepun Yang Beroperasi di Luar Negara Asia dan Oceania" bagi tahun kewangan 2023, Malaysia paling menyerlah dalam kalangan negara ASEAN dengan menjadi satu-satunya negara mencapai peningkatan yang konsisten dalam lebihan operasi.
"Unjuran bagi tahun kewangan 2023 memperlihatkan pencapaian lebihan operasi yang cemerlang sebanyak 67.9 peratus, peningkatan yang konsisten berbanding 63.0 peratus pada tahun kewangan 2022 dan 59.7 peratus pada tahun kewangan 2021.
"Kenaikan peratusan pada tahun kewangan 2023 sebanyak 34.2 peratus dengan jangkaan peningkatan selanjutnya pada 2024," kata tinjauan itu.
Tinjauan itu juga mendapati lebih separuh daripada syarikat Malaysia (50.2 peratus) bercadang untuk mengembangkan perniagaan, melepasi paras 50 peratus buat pertama kali dalam lima tahun.
Responden turut menunjukkan minat bukan sahaja dalam mengembangkan jualan tetapi juga pengeluaran produk bernilai tambah tinggi serta melabur dalam penyelidikan dan pembangunan, kata Jetro.
"Pujian harus diberikan kepada persekitaran pelaburan Malaysia yang memudahkan dari segi komunikasi, dengan 80 peratus syarikat bersetuju bahawa tiada halangan dari segi bahasa," katanya.
Bagaimanapun, risiko berlaku dalam sumber manusia, melibatkan peningkatan kos tenaga kerja, kadar perolehan yang tinggi, kekurangan tenaga buruh dan cabaran dalam pengambilan pekerja.
Lebih 60 peratus negara ASEAN, dengan Malaysia pada kadar 63.5 peratus, menghadapi kekurangan sumber manusia yang meruncing, terutamanya profesional dan pekerja kilang, katanya.
"Syarikat Malaysia antara yang aktif dalam mengautomasikan barisan pengeluarannya, menunjukkan Malaysia negara yang paling berminat dalam automasi dalam kalangan negara ASEAN," kata Jetro.
Sementara itu, Malaysia mempamerkan komitmen yang semakin meningkat terhadap penerapan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dengan 45.4 peratus syarikat menjalankan inisiatif penyahkarbonan.
"Isu hak asasi manusia merupakan cabaran pengurusan oleh 85.7 peratus syarikat, menjadikan Malaysia di tempat pertama dalam kalangan negara ASEAN utama untuk tahun ketiga berturut-turut," katanya.
Ia berkata strategi pembangunan pasaran turut berkembang, dengan peralihan ke arah syarikat tempatan untuk sasaran perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan kelas atasan untuk Perniagaan-ke-pengguna (B2C).
Tinjauan itu turut menyatakan bahawa landskap ekonomi Malaysia mempamerkan pertumbuhan yang luar biasa dalam keuntungan operasi dan kecenderungan positif terhadap pengembangan perniagaan dan amalan ESG.
Walau bagaimanapun, negara ini masih bergelut dengan cabaran rumit dalam sumber manusia dan pembangunan pasaran yang unik serta persekitarannya yang pelbagai. - BERNAMA
#Malaysia #ekonomi malaysia #Jepun #JETRO
;