Malaysia mampu manfaatkan tawaran bekalan sumber pertanian dari Rusia - MAFI

Raja Hisyam Raja Zaid
Ogos 8, 2022 13:58 MYT
Azah Hanim (kiri) ketika hadir pada acara pameran deligasi industri pertanian Rusia di Malaysia baru-baru ini. - Astro AWANI
PETALING JAYA: Hubungan dagangan antara Rusia dan Malaysia masih lagi baik malah masih banyak lagi peluang dan tawaran bekalan makanan yang mampu dimanfaatkan oleh Malaysia bagi memenuhi keperluan semasa ketika ini.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Azah Hanim Ahmad, Rusia merupakan sebuah negara yang memiliki sumber industri pertanian yang besar dan memiliki kemampuan dalam menawarkan bekalan produk yang dikeluarkan oleh negara tersebut.
“Kalau kita lihat dalam lawatan kami pada masa ini... dalam pameran yang diadakan ini, (terdapat) banyak produk bekalan ayam segar dan juga produk daging. Saya rasa mereka mengharapkan akreditasi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan juga daripada Jabatan Perkhidmatan Vaterinar untuk membenarkan kemasukkan produk-produk ini ke dalam Malaysia.
“Dengan adanya produk ini, kita akan dapat mempelbagaikan sumber makanan negara,” jelasnya ketika hadir pada acara Pameran Deligasi Industri Pertanian Rusia di sini baru-baru ini.
Malah menurutnya, langkah kerajaan memansuhkan permit import makanan baru-baru ini juga telah menunjukkan kesan yang positif di mana pelbagai pihak mula menggunakan peluang tersebut untuk membawa masuk produk makanan dari luar negara ke Malaysia tanpa banyak sekatan seperti sebelumnya.
Bercakap mengenai produk pertanian dari Rusia yang masih lagi berdepan dengan krisis dan juga sekatan Eropah ketika ini, beliau memaklumkan, buat masa ini tiada halangan untuk kedua-dua negara tersebut meneruskan hubungan dagangan terutamanya membabitkan bekalan makanan sektor pertanian.
Malah jelasnya jumlah nilaian dagangan yang dicatatkan oleh kedua-dua negara tahun lalu mencecah sehingga RM14 bilion.
Sementara itu wakil Kesatuan Perdagangan Rusia di Malaysia Nikita Ponomarenko menjelaskan, Malaysia merupakan antara negara yang dilihat mempunyai potensi pasaran yang besar untuk membolehkan lebih banyak produk pertanian dari Rusia masuk ke negara ini.
Malah krisis membabitkan Rusia-Ukraine tidak pernah menjejaskan hubungan baik kedua-dua negara yang telah sekian lama terjalin terutamanya membabitkan hubungan dagangan.
“Kita masih lagi menjalinkan hubungan dengan semua rakan kita yang sedia bekerjasama, jadi kita tidak mahu krisis yang melanda memberi kesan.
“Ini kerana kita masih terbuka dan acara sebegini menunjukkan masih banyak lagi syarikat dalam pelbagai perusahaan termasuk bijirin dan gandum serta banyak lagi peluang untuk kita eksport dari Rusia dan import dari Malaysia. Ini jelas akan sekali gus mampu memperluaskan lagi fungsi Malaysia sebagai hab produk (Rusia) bagi rantau ini,” jelasnya lagi.
Sebanyak 45 buah syarikat serta lebih 100 delegasi industri pertanian dari Rusia mengadakan kunjungan dan pameran di Malaysia sejak minggu lalu bagi melihat potensi penerokaan pasaran yang lebih luas bagi produk pertanian ke sini.
Rusia ketika ini masih lagi berdepan dengan beberapa sekatan antarabangsa termasuk membabitkan sekatan dagangan terhadap ratusan produk pertanian mereka.
#hubungan dagangan #Rusia #ekonomi #produk makanan
;