Malaysia mampu hadapi aliran modal tidak menentu, kata Zeti

Bernama
Mac 12, 2015 08:02 MYT
ZETI : Meskipun aliran keluar baru-baru ini, keadaan pasaran kewangan domestik dan pasaran pertukaran asing masih teratur. - Gambar fail
Malaysia berada di kedudukan lebih baik, mempunyai keupayaan untuk menyerap aliran modal tidak menentu dan berupaya membendung kesan limpahannya ke atas ekonomi sebenar, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Zeti berkata meskipun aliran keluar baru-baru ini, keadaan pasaran kewangan domestik dan pasaran pertukaran asing masih teratur.
"Malaysia pernah mengalami modal yang besar sebelum ini. Apa yang penting untuk ditekankan ialah, meskipun aliran modal tidak menentu, keadaan dalam pasaran kewangan domestik kita dan pasaran pertukaran asing kekal teratur.
"Tiada gangguan kepada perantaraan kewangan, dan ini disebabkan terutamanya sistem perbankan yang berdaya tahan dan hakikat bahawa kita mempunyai pasaran kewangan yang maju.
"Dan semasa setiap kali berlakunya aliran keluar modal, tiada sebarang gangguan kepada aktiviti ekonomi asas," katanya.
Zeti berkata demikian pada sidang media bersempena dengan pengeluaran Laporan Tahunan 2014 bank pusat itu, di sini, Rabu.
Beliau berkata semasa krisis kewangan global antara Mac 2008 sehingga Mac 2009, aliran keluar modal ialah sebanyak US$39.3 bilion, manakala semasa petunjuk pertama pengurangan program belian bon oleh Bank Rizab Persekutuan antara Mei hingga Ogos 2013, aliran keluar modal berjumlah US$19.1 bilion.
Zeti berkata dari semasa ke semasa aliran keluar menyebabkan ringgit menyusut, tetapi sebelum itu, peningkatan aliran masuk membawa kepada kenaikan mata wang tempatan itu.
Beliau berkata pergerakan ringgit ketika ini dipacu oleh faktor-faktor luar dengan pelarasan lebih besar dalam unit tempatan berikutan kebimbangan kesan harga minyak rendah ke atas ekonomi Malaysia.
Menurutnya, Malaysia juga berada dalam kedudukan lebih baik menghadapi kejutan luar kerana negara mempunyai 'penampan' yang besar yang dibina selama ini.
Sementara itu, beliau berkata rizab berbanding liputan hutang luar jangka pendek pada 1.1 kali mencukupi bagi sesebuah negara yang mempunyai tahap keterbukaan ekonomi dan kewangan yang tinggi.
"Paras rizab antarabangsa tinggi, bersama dengan kadar pertukaran lebih fleksibel akan terus menjadi dasar penting untuk menjadi penampan kepada potensi kejutan luar," katanya.
#Zeti Akhtar Aziz.
;