Malaysia mampu catat KDNK 5.0 peratus atau lebih tahun ini - Irwan Serigar

Bernama
Julai 4, 2017 18:54 MYT
IRWAN SERIGAR: Ekonomi Malaysia mampu mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.0 peratus atau lebih pada tahun ini berdasarkan prestasi yang dicapai pada separuh pertama 2017. -Gambar fail
Ekonomi Malaysia mampu mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.0 peratus atau lebih pada tahun ini berdasarkan prestasi yang dicapai pada separuh pertama 2017, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
"Prestasi ekonomi negara adalah amat baik dan saya secara peribadi berasakan bahawa kita mampu mencapai pertumbuhan KDNK sebanyak 5.0 peratus atau lebih, didorong oleh kekukuhan persekitaran ekonomi, peningkatan eksport, pelaburan serta kewujudan peluang pekerjaan.
"Kita turut melihat peningkatan harga minyak pada paras US$47 dan US$50 (US$1=RM4.30) setong dan saya berpendapat ringgit juga akan (mencatat prestasi) lebih baik," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Pemacu Global MaGIC di sini, hari ini.
Kenyataan Mohd Irwan itu sebagai mengulas laporan media kewangan antarabangsa, Bloomberg bertajuk 'The Ringgit Is Easily Asia's Strongest Currency' yang menyenaraikan ringgit sebagai mata wang utama Asia paling kukuh bagi tempoh suku pertama tahun ini.
Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini, didorong oleh permintaan domestik serta perbelanjaan swasta yang kukuh.
Mengulas selanjutnya, Mohd Irwan juga menegaskan ekonomi negara tidak pernah berada dalam keadaan buruk dan kelembapan ekonomi yang berlaku itu adalah disebabkan oleh ketidaktentuan harga minyak serta sentimen pasaran global.
Ditanya sama ada Malaysia akan menyemak semula unjuran KDNK berkenaan, beliau berkata kerajaan turut mengadakan pertemuan dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Bank Negara Malaysia untuk melihat kewajaran langkah itu dalam Bajet 2018 yang dijadual dibentangkan pada 27 Oktober depan.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi catatan terbaharu di blog beliau berkata Malaysia tetap berupaya mencapai banyak kejayaan yang boleh dibanggakan meskipun berdepan cabaran termasuk ketidaktentuan pasaran antarabangsa dan kejatuhan harga minyak.
Beliau berkata berkata secara keseluruhannya, prestasi ekonomi negara bagi suku pertama 2017 kekal stabil serta kukuh dan berkembang 5.6 peratus dengan pelaburan langsung asing (FDI) meningkat kepada RM17 bilion.
-- BERNAMA
#KDNK #Keluaran Dalam Negara Kasar #Ketua Setiausaha Perbendaharaan #Mohd Irwan Serigar Abdullah #Prestasi ekonomi negara