Malaysia mahu kukuhkan kehadiran di China melalui peroduk nilai tambah - MPOB
Bernama
November 20, 2023 05:30 MYT
November 20, 2023 05:30 MYT
BEIJING: Malaysia berpotensi besar untuk mengukuhkan kehadirannya di pasaran minyak sawit dan produk-produk nilai tambah berasaskan minyak sawit di China dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, sambil mengurangkan lagi pergantungannya pada pasaran Eropah, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Mengakui jumlah import China dari Malaysia telah menurun secara perlahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Pengerusi Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata Malaysia kini menumpukan untuk mengeksport lebih banyak produk nilai tambah ke republik itu.
"Inilah yang kami (mahu lakukan) sekarang. Kami tidak mempunyai masalah dengan Indonesia yang mengeksport sejumlah besar minyak sawit mentah ke seluruh dunia.
"Bagi Malaysia, kami mahu mereka (China) mengimport produk nilai tambah yang lebih banyak dan kami melihat peningkatan (dalam sektor ini) tahun ke tahun," kata Mohamad Helmy, yang turut berada dalam misi promosi minyak sawit ke China yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.
Beliau berkata Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Sawit MPOB (PORTSIM), yang ditubuhkan pada 2005, telah mencipta antara tiga dan lapan produk nilai tambah baharu menggunakan minyak sawit setiap tahun bagi memenuhi keperluan pengguna China.
"Pengguna China kini sangat canggih. Mereka memerlukan produk kesihatan yang lebih baik, nutrien yang lebih baik, dan sudah tentu produk yang mampan dan minyak sawit mampan kami adalah jawapannya.
"Jadi kami berada di landasan yang betul," kata Mohamad Helmy.
Beliau juga berkata pengeluar China (makanan dan bukan makanan) kini menghadapi masalah kekurangan lemak (lemak haiwan) untuk produk mereka, dan terdapat potensi bagi Malaysia menggantikannya dengan minyak sawit.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia Belvinder Sron berkata China lebih prihatin terhadap keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus kerana ia mengeksport produk-produknya ke negara lain.
"Kita berada dalam kedudukan yang baik untuk membantu China memenuhi permintaan itu kerana kita memiliki pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang mana ia merupakan satu kelebihan daya saing yang kita ada berbanding negara pengeluar minyak sawit yang lain."
Beliau sehubungan itu menggesa syarikat-syarikat Malaysia untuk menjadi lebih agresif menembusi pasaran China yang memiliki 1.4 bilion penduduk dan membuat lawatan lebih kerap untuk lebih dekat dengan pembeli mereka. Beliau berkata terdapat peluang yang belum diterokai dalam kedua-dua sektor iaitu makanan dan bukan makanan.
Belvinder berkata strategi pengembangan masa depan bagi minyak sawit Malaysia adalah di Asean.
"Tetapi China dan India akan kekal sebagai pasaran utama. Timur Tengah dan benua Afrika adalah pasaran seterusnya.
"Kita tidak boleh (bergantung) pada Kesatuan Eropah apabila ia mengeluarkan begitu banyak peraturan yang menjejaskan eksport kita," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia Mohd Shahari Idris, yang turut mengadakan pertemuan dengan Fadillah semasa misi minyak sawit oleh TPM yang berakhir 19 Nov, berkata Malaysia tidak boleh lagi membuka ladang-ladang baharu kerana sekatan berkaitan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
"Kita benar-benar perlu berusaha bagaimana kita boleh menambah nilai dari segi kadar pengekstrakan minyak. Salah satu cara untuk melakukannya ialah dengan menggunakan bahan penanaman yang lebih baik.
"Selain itu, kita tidak seharusnya mensia-siakan buah lerai yang telah tertanggal daripada (tandan) tetapi hendaklah ia dikutip dan digunakan dengan baik.
"Ia boleh membantu meningkatkan kadar perahan minyak tetapi kita mesti memberi insentif kepada pekerja yang mengutip buah lerai yang tertanggal itu kerana sebelum ini ia tidak dikutip," katanya sambil menambah buah lerai yang jatuh ke tanah menunjukkan ia telah masak.
Sementara itu, dalam mengakhiri misinya ke China, TPM Fadillah berkata negara itu komited untuk meningkatkan import minyak sawitnya kepada 3.4 juta tan tahun depan berbanding anggaran 3.14 juta tan setakat ini.
Beliau juga menyifatkan lawatan itu sebagai misi minyak sawit yang paling berjaya untuk 2023. Fadillah juga mengunjungi EU dan Kenya untuk mempromosikan minyak sawit Malaysia.
China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun lalu.
Eksport agrikomoditi ke China merangkumi 12.8 peratus (RM26.46 bilion) daripada jumlah eksport komoditi pertanian Malaysia pada 2022, meningkat sebanyak 11 peratus dari 2021.
Eksport produk berasaskan minyak sawit dan minyak sawit ke China masing-masing berjumlah RM16.41 bilion dan RM8.44 bilion pada 2022.
-- BERNAMA