'Malaysia lakukan kajian mendalam sebelum tandatangani TPPA'
Bernama
November 5, 2016 07:28 MYT
November 5, 2016 07:28 MYT
Malaysia tidak terburu-buru menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) apabila mengambil masa selama lima tahun untuk mengadakan rundingan.
Ahli Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Lokman Noor Adam berkata kerajaan meneliti TPPA secara mendalam dengan mengambil kira kepentingan negara termasuk hak Bumiputera, perolehan kerajaan dan syarikat milik kerajaan.
"Malaysia mempunyai pendirian dan tidak mahu menjadi seperti negara-negara yang terpaksa mengikut arahan apabila terhutang budi terhadap pihak yang memberi bantuan kepada mereka," katanya ketika berucap pada Kursus Pemukiman Penceramah anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini pada Sabtu.
Pada 4 Feb lepas, sebanyak 12 negara termasuk Malaysia telah menandatangani TPPA, iaitu pakatan perdagangan yang dijangka meluaskan pasaran, mengurangkan tarif dan mempromosi perdagangan yang lebih bebas.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menandatangani perjanjian perdagangan bebas komprehensif itu bagi pihak Malaysia dimeterai di Auckland, New Zeland.
TPPA dimeterai setelah 19 pusingan rundingan selama lima tahun. -- Bernama