Malaysia kekalkan dasar pelaburan dan perdagangan terbuka - Azmin
Bernama
Disember 26, 2019 20:19 MYT
Disember 26, 2019 20:19 MYT
Malaysia akan terus mengamalkan dasar pelaburan dan perdagangan terbuka, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata dasar tersebut berperanan penting dalam usaha negara ke arah penyepaduan lebih kukuh dengan ASEAN selain memanfaatkan saiz penduduk di rantau ini yang berjumlah lebih 600 juta orang.
"Dalam konteks ekonomi global yang semakin terhubung, Malaysia juga akan terus memanfaatkan budaya pembiayaan untuk melonjakkan lagi kelebihan daya saing kita.
"Dalam aspek ini, Malaysia telah berjaya menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, yang menyaksikan 18 perjanjian berjaya dimeterai, manakala pemimpin dari dunia Islam bersetuju menyalurkan lebih banyak pelaburan langsung untuk tujuan pembangunan ekonomi mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Azmin berkata kerjasama yang ditempa semasa sidang kemuncak itu adalah dalam bidang media, pusat kecemerlangan, pertukaran belia, pertahanan dan keselamatan, serta jaminan makanan.
"Antara lain, satu perjanjian telah ditandatangani antara Felcra Bhd dengan satu daripada pemilik ladang ternakan dan tenusu terbesar Qatar, Baladna Food Industries, untuk usaha sama tenusu berskala besar bagi meningkatkan lagi jaminan makanan negara," katanya.
Beliau berkata pertukaran dokumen melibatkan pembuat komponen aeroangkasa Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) dan Turkish Aerospace Industries (TAI) turut diadakan di luar acara sidang kemuncak tersebut.
"Semua inisiatif ini dilaksanakan kerajaan untuk membangunkan daya tahan dan memajukan sumber pertumbuhan endogen, seiring dengan harga komoditi lebih baik dan ringgit yang lebih stabil, akan mengorak laluan ke arah peningkatan prospek ekonomi Malaysia," katanya.
Mohamed Azmin berkata penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan Tahun Melawat Malaysia pada 2020 akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan, khususnya bagi industri pelancongan.
"Justeru, inisiatif dasar yang berterusan akan memperkukuh lagi asas ekonomi Malaysia selain terus menyokong ringgit," katanya.
Beliau berkata kerajaan akan sentiasa memastikan usaha bersepadu dijalankan untuk mendorong Malaysia ke arah mencapai pertumbuhan lebih mampan dan saksama sejajar agenda kemakmuran bersama.
-- BERNAMA