Malaysia kekal sebagai pasaran pembuatan paling menarik
Bernama
Februari 17, 2017 12:58 MYT
Februari 17, 2017 12:58 MYT
Malaysia mengekalkan kedudukan utamanya dalam 'Established Index' sebagai pasaran pembuatan pilihan bagi penempatan semula pada masa depan, demikian menurut laporan Cushman & Wakefield.
Kejayaan ini adalah berdasarkan perkhidmatan infrastruktur Malaysia yang kondusif kepada produktiviti, dengan kualiti infrastruktur yang agak tinggi, walaupun wujud kebimbangan yang menyelubungi ketersediaan bekalan air dan gangguan bekalan elektrik sejak kebelakangan ini, katanya.
"Walaupun negara berpendapatan sederhana yang lain mampu menyaingi Malaysia dari segi standard infrastruktur, laporan oleh Bank Dunia baru-baru ini menunjukkan kedudukan Malaysia masih lebih tinggi berbanding saingannya dari segi prestasi logistik keseluruhan berhubung kualiti infrastruktur perdagangan dan pengangkutan," katanya dalam laporan bertajuk 'Indeks Risiko Pembuatan 2017'.
Beribu pejabat di Chicago, Amerika Syarikat, Cushman & Wakefield menyediakan perkhidmatan hartanah komersial bagi membantu pelanggan mengubah aset tetap kepada aset yang lebih dinamik.
Indeks Risiko Pembuatan merupakan kajian tahunan ke atas sektor pembuatan, yang mengukur bagaimana risiko politik, ekonomi, teknologi dan alam sekitar, diurus dalam penilaian portfolio dan pemilihan tapak oleh penghuninya.
Ia mengandungi Established Index yang menentukan kedudukan 30 negara terbesar dalam keluaran pembuatan dan Indeks Pioneering yang menetapkan kedudukan 10 teratas lokasi pembuatan, pertumbuhan, dan kurang mantap dari segi pengeluaran, namun berpotensi untuk matang dan menjadi lokasi pilihan.
Malaysia, bersama Taiwan, China, Korea Selatan, Singapura, Thailand dan Jepun, terus menguasai 15 tempat teratas, menduduki tujuh tempat dalam Established Index.
Berdasarkan tahap kematangan yang berbeza dari segi pemakaian teknologi dan keutamaan di seluruh Asia Pasifik, setiap negara di rantau ini mempunyai tumpuan khusus dalam bidang inovasi untuk mempromosikan pertumbuhan sektor - seperti pembuatan pintar dalam bentuk automasi di China disebabkan inflasi upah atau tawaran masyarakat terhubung syarat kukuh untuk menjalankan perniagaan di Singapura, walaupun profil kos yang lebih tinggi, kata laporan itu.
Di China, laporan itu menyebut, dasar sama ada menggalakkan atau pembiayaan langsung pelaburan dalam bidang sains dan teknologi, pemindahan teknologi, kemampanan, dan pembangunan infrastruktur, dilihat membantu syarikat China mewujudkan kelebihan daya saing yang penting melalui massa kritikal, walaupun kawasan itu tidak menghadapi saingan daripada pasaran negara jiran.
India sebaliknya telah meningkat ke tempat kelima tahun lepas - ekoran tumpuan kerajaan ke atas usaha 'Make in India'.
Menurut laporan itu, India menyaksikan peningkatan pelaburan oleh para pengilang global.
"Peningkatan pelaburan ini dijangkakan akan terus menyokong projek-projek peningkatan infrastruktur, dasar dan kawal aturan," katanya.
Mengenai penilaian keseluruhan pasaran, laporan itu berkata dalam jangka pendek, pembuatan terus menghadapi kekangan ekoran kurangnya pelaburan modal untuk kilang yang mengurangkan secara radikal keputusan ke atas lokasi.
"Namun, dalam jangka sederhana, banyak persoalan akan dibangkitkan mengenai lokasi yang pada asasnya menyediakan perkhidmatan untuk era yang berbeza apabila kita beralih kepada apa yang disebut oleh perunding, McKinsey, Industri 4.0 atau revolusi perindustrian ke-4," katanya.
Dalam persekitaran semasa, kos kekal sebagai kriteria utama pemilihan lokasi bagi kebanyakan syarikat.
Namun, Indeks Risiko Pembuatan menilai asas lain seperti keadaan operasi dan profil risiko negara.
"Kami menjangkakan faktor ini dan kriteria lain, menjadi penyumbang yang lebih penting kepada keputusan pemilihan lokasi pada masa akan datang," katanya.
-- BERNAMA