Malaysia kekal jadi destinasi pelaburan pilihan untuk pelabur Amerika

Bernama
Mac 11, 2024 05:45 MYT
Syarikat multinasional Amerika (MNC) kekal yakin dengan prospek ekonomi Malaysia yang berpotensi untuk pertumbuhan dan pembangunan, menjadikan negara itu destinasi pelaburan paling diminati, menurut tinjauan yang dijalankan oleh AMCHAM.
KUALA LUMPUR: Syarikat multinasional Amerika (MNC) kekal yakin dengan prospek ekonomi Malaysia yang berpotensi untuk pertumbuhan dan pembangunan, menjadikan negara itu destinasi pelaburan paling diminati, menurut tinjauan yang dijalankan oleh Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM).
Tinjauan Impak Ekonomi (EIS) 2022/23 dwitahunan AMCHAM menyaksikan 81 syarikat mengambil bahagian dalam tinjauan itu, yang mana 65 daripadanya adalah syarikat multinasional Amerika (MNC).
Tinjauan itu mendapati pelaburan langsung asing (FDI) MNC ini telah mencecah RM172.6 bilion pada akhir 2023, menggariskan komitmen yang berterusan oleh syarikat-syarikat tersebut di Malaysia, dengan jejak sejarah bermula pada 1950-an.
Pengerusi AMCHAM, Antony Lee berkata bahawa komitmen yang ditunjukkan oleh MNC Amerika di Malaysia adalah kukuh seperti biasa dan terus memupuk kerjasama yang mantap dengan rakan kongsi mereka.
"Tanpa mengambil kira keadaan ekonomi Malaysia malah dalam krisis kewangan global sebelum ini, syarikat Amerika terus melabur (di Malaysia).
"Oleh itu, kami adalah rakan kongsi yang paling boleh dipercayai kepada Malaysia," katanya selepas membentangkan EIS 2022/23 hari ini.
Keputusan EIS 2022/23 juga mendapati 81 syarikat yang mengambil bahagian dalam tinjauan itu turut menggaji 148,778 individu, yang mana 89 peratus adalah rakyat Malaysia dan membayar upah sebanyak RM307.7 bilion.
"Mereka juga menyumbang kepada masa depan dan keselamatan pekerja mereka, membayar RM1.3 bilion kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," kata tinjauan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AMCHAM, Siobhan Das turut menyokong sentimen Antony dengan menyatakan bahawa daya saing Malaysia juga mendahului negara jiran.
"Kami sekarang berada di hadapan, saya berpendapat, ianya sangat kompetitif. Kami perlu sedar apa yang akan berlaku kerana persaingan itu boleh menjadi sengit," katanya lagi.
Siobhan menambah bahawa inisiatif serta dasar kerajaan seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan banyak lagi, juga telah membantu menarik lebih ramai pelabur ke negara ini.
"Saya rasa kerajaan telah mengiktiraf bahawa terdapat bidang yang memerlukan tumpuan, dan pelan induk ini sedang dilaksanakan bagi membantu membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih menarik untuk masa hadapan," katanya.
Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming berkata Zon Ekonomi Khas Johor Singapura (JSSEZ) dan Rapid Transit System (RTS Link) Johor Bahru-Singapura adalah faktor lain yang boleh menarik pelaburan ke Malaysia.
"Ianya (projek tersebut) akan membawa masuk aktiviti bersama dari segi aktiviti promosi serta pelaburan antara Singapura dan Malaysia," tambahnya.
Ong menjelaskan, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) adalah contoh dasar lain yang akan membolehkan pelaburan baharu dalam pelbagai sektor.
"Sebagai contoh, kami bercakap tentang pelaburan dari segi ladang solar selain usaha untuk menguruskan sistem tenaga tersebut supaya dapat diletakkan di taman perindustrian, taman perindustrian hijau, yang akan dapat menarik kemasukan lebih banyak FDI," katanya.
Terdapat kemungkinan besar bahawa banyak syarikat pelaburan akan datang dari Amerika Syarikat (AS) kerana mereka mempunyai lebih banyak pengalaman dalam bidang ini.
Sementara itu, tinjauan EIS juga mendapati banyak syarikat yang menjadi responden telah mengambil bahagian dalam membangunkan modal insan Malaysia, dengan 76 peratus telah mewujudkan program kemahiran dan latihan dalaman di negara ini.
"Selain itu, 65 peratus menawarkan inisiatif latihan yang dibiayai sepenuhnya, dengan 23 peratus menyokong program yang dibiayai secara bersama. Syarikat-syarikat Amerika memainkan peranan penting dalam membentuk landskap modal insan Malaysia," katanya.
AMCHAM berkata, EIS menunjukkan betapa mendalamnya operasi bersepadu dengan ekosistem tempatan.
"Pengilang-pengilang ini melaporkan sejumlah pembekal tempatan menyokong operasi mereka di Malaysia melalui 7,291 perhubungan dalam kontrak melebihi RM100,000, bernilai RM22.97 bilion," tambahnya.
- BERNAMA
#Malaysia #destinasi pelaburan #Amerika Syarikat #Tinjauan Impak Ekonomi
;