Malaysia kekal destinasi utama Asia bagi pembuatan, perkhidmatan global bernilai tinggi - Knight Frank
Bernama
Julai 22, 2021 17:37 MYT
Julai 22, 2021 17:37 MYT
KUALA LUMPUR: Knight Frank Malaysia menjangkakan negara akan kekal sebagai destinasi pelaburan menarik bagi pembuatan dan perkhidmatan global bernilai tinggi di Asia.
Perunding hartanah global bebas itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, negara merekodkan sejumlah RM80.6 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada suku pertama 2021, melonjak 95.6 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas.
Pengarah Eksekutif Penyelidikan dan Perundingannya, Judy Ong berkata pandemik COVID-19 telah meningkatkan ledakan e-dagang dan ia memberi prospek baik kepada pasaran hartanah perindustrian.
"Krisis COVID-19 memberi hikmah bagi industri logistik kerana pandemik ini telah mewujudkan keperluan bagi ruang gudang untuk memenuhi memenuhi lonjakan perkhidmatan penghantaran dan pengumpulan.
"Dengan kawalan pergerakan dan sekatan pergerakan, terdapat peralihan struktur ke arah peruncitan pelbagai kaedah," katanya.
Pada masa depan, Ong berkata industri logistik dijangka terus menerima minat pelaburan disokong oleh permintaan yang kukuh terhadap kemudahan gudang dan pengedaran.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan momentum pertumbuhan industri, yang pada mulanya dijangka berterusan hingga ke separuh kedua 2021 dan seterusnya, akan terjejas memandangkan Malaysia sedang bergelut dengan peningkatan jangkitan COVID-19 ketika ini.
-- BERNAMA
#pelaburan
#Malaysia
#ekonomi
#Knight Frank
#pandemik
#COVID-19
#E-dagang
#pasaran
#hartanah
#industri