Malaysia kedua dinamik di ASEAN tingkat perniagaan
Bernama
September 16, 2013 16:36 MYT
September 16, 2013 16:36 MYT
Malaysia diiktiraf sebagai negara kedua paling dinamik di ASEAN untuk meningkatkan perniagaan.
Penarafan dibuat ke atas 60 ekonomi terbesar dari segi dinamisme di peringkat dunia, menerusi kajian data perniagaan dan ekonomi.
Indeks Dinamisme Global Grant Thornton (GDI) 2013 meletakkan Malaysia sebagai negara kedua terbaik di ASEAN selepas Singapura yang mencatatkan skor tertinggi.
Ia diikuti Thailand yang mendapat skor ketiga tertinggi dengan 56.4 mata.
Skor diberikan ke atas setiap negara merentas lima bidang utama yang dinamik bagi memperoleh skor secara menyeluruh.
Malaysia memperoleh skor kedua terbaik dalam bidang utama seperti persekitaran operasi perniagaan 74 mata dan kewangan dengan 60 mata di ASEAN bagi pengembangan perniagaan.
Pengarah Urusan SJ Grant Thornton, Datuk NK Jasani berkata Malaysia juga menyediakan persekitaran pembiayaan yang baik apabila memperoleh skor tertinggi di ASEAN dalam akses kepada modal jangka sederhana.
Berbanding negara lain beliau berkata prestasi Malaysia dalam bidang utama juga semakin kukuh, seperti ekonomi dan pertumbuhan .
Manakala di peringkat global Malaysia menduduki ranking ke 13 GDI, meningkat 11 anak tangga berbanding tahun lepas.