Malaysia kecewa EU luluskan resolusi tidak adil, jejas minyak sawit
Bernama
April 5, 2017 07:54 MYT
April 5, 2017 07:54 MYT
Malaysia kecewa dengan tindakan Parlimen Eropah meluluskan satu resolusi yang mensyaratkan hanya minyak sawit dihasilkan secara lestari boleh diimport ke pasaran Kesatuan Eropah (EU) selepas 2020.
Sambil menyifatkan resolusi itu tidak adil, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata ketetapan itu menekankan keperluan pensijilan tunggal pasaran eksport minyak sawit ke Eropah yang perlu dihasilkan secara lestari tanpa melibatkan aktiviti penebangan hutan.
Resolusi itu turut melabelkan skim pensijilan sedia ada sebagai salah dan tidak memenuhi syarat dan piawaian antarabangsa.
Malah, atas alasan itu, EU mengetepikan minyak sawit daripada program bahan api bio gagasan berkenaan, katanya.
"Hanya minyak sawit tertakluk kepada pensijilan itu sedangkan minyak sayuran lain sebaliknya tidak perlu memiliki sijil sedemikian. Ini sememangnya tidak adil," katanya pada satu sidang media di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mah berkata Skim Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) yang dilaksanakan sejak 2015, akan diwajibkan menjelang Disember 2019.
Bagaimanapun, katanya, resolusi itu tidak mengiktiraf sebarang skim yang diwartakan di peringkat negara asal pengeluar hasil komoditi itu.
Beliau juga bimbang resolusi itu akan menjejaskan eskport minyak sawit ke negara pengimport lain berikutan kedudukan EU sebagai destinasi eskport kedua terbesar selepas India.
Berikutan itu, katanya, beliau dijadual menemui rakan sejawatannya dari Indonesia pada minggu depan dan disusuli pertemuan dengan Ahli Parlimen EU, bulan depan.
"Ini satu kesempatan untuk kita menyakinkan pihak penggubal undang-undang mereka bahawa resolusi itu tidak adil kepada industri minyak sawit," katanya.
Mah berkata, kementerian itu akan turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi melihat kemungkinan resolusi itu bercanggah dengan Peraturan Perdagangan Dunia kerana hanya menyasarkan minyak sawit.
Selain itu, katanya, beliau akan melakukan lawatan susulan ke India dalam masa tiga bulan lagi bagi mendapatkan perkembangan empat memorandum persefahaman (MoU) membabitkan minyak sawit yang dimeterai ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara itu, baru-baru ini.
"India meerupakan pengimport terbesar minyak sayuran dunia dengan nilai keseluruhannya sebanyak US$10 bilion tahun lepas.
"Bahagian pasaran minyak sawit di India adalah 59 peratus berbanding minyak campuran lain. Oleh itu, ia adalah peluang yang perlu kita terokai," katanya.
Menurut Mah, industri minyak sawit Malaysia juga memulakan 2017 dengan lebih positif apabila eksportnya bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini meningkat sebanyak 41.9 peratus atau RM12.9 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.
Eksport minyak sawit dan berasaskan produk itu ke China pada Januari dan Februari 2017 turut meningkat secara ketara sebanyak 96.4 peratus kepada RM1.52 bilion berbanding tempoh sama pada 2016. -- BERNAMA
#eksport minyak sawit
#kelapa sawit
#Kesatuan Eropah
#mah siew keong
#parlimen eropah
#pensijilan tunggal
#resolusi