Malaysia ke arah jadi hab BDA Asia Tenggara
Malik Ridhwan
September 19, 2016 21:09 MYT
September 19, 2016 21:09 MYT
Malaysia berada di landasan yang betul ke arah menjadi hab pembekal penyelesaian Analisis Data Besar (BDA) Asia Tenggara.
Ia selaras dengan komitmen Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk membina sebuah komuniti yang berpandukan data.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Datuk Yasmin Mahmood, setakat Ogos lalu, terdapat 22 syarikat multinasional BDA dari enam negara yang telah beroperasi di Malaysia.
"Ini termasuklah IHS Markit dari UK dan SiteCore dari AS yang membuka pejabat cawangan di sini. Manakala Fusionex dan Data Micron antara syarikat tempatan yang telah berkembang di peringkat global.
"Secara keseluruhan, terdapat 32 syarikat BDA yang telah mengeksport perkhidmatan,penyelesaian dan 47 syarikat permulaan BDA yang terus memberi inovasi dan menguji teknologi terkini dalam bidang ini," katanya semasa merasmikan BIGIT Technology Malaysia 2016, acara utama Big Data Week Asia 2016.
Tambahnya, bagi mencapai hasrat tersebut, jurang bakat dalam BDA juga perlu ditangani.
Justeru, kerjasama antara industri dan universiti adalah perlu dalam mendidik dan memupuk pembangunan bakat dalam sektor BDA.
“Ketika ini, lima Institut Pengajian Tinggi (IPT) menawarkan kursus lepasan ijazah dalam Sains Data, tujuh IPT menawarkan kursus ijazah sarjana muda berkaitan IT dengan pengkhususan Sains Data dan empat IPT memperkenalkan modul Sains Data dalam kursus tidak berkaitan dengan ICT seperti Sains Aktuari, Pengurusan Perniagaan dan sebagainya,” katanya.
Acara dua hari itu, adalah sebahagian daripada usaha MDEC untuk memangkinkan ekosistem inovasi digital bagi meluaskan peluang dalam bidang BDA.
BDA adalah proses pemeriksaan set data besar untuk mendedahkan, antaranya corak tersembunyi, korelasi tidak diketahui, arah aliran pasaran, pilihan pelanggan dan maklumat perniagaan lain yang berguna.
Yasmin berkata agensi kerajaan dijangka melihat lebih banyak syarikat, tempatan dan asing, menyediakan tapak mereka di negara dan rantau ini.
"Kita perlukan lebih banyak syarikat kerana lebih ramai orang datang ke negara ini, lebih ramai pelabur asing dan penggiat tempatan yang benar-benar berkembang pesat bagi bidang ini.
"Kita juga mempunyai syarikat yang mencari kepakaran ini bagi memajukan perniagaan mereka seperti CIMB Group dan AirAsia Bhd.
"Kedua-dua syarikat itu memanfaatkan teknologi data dan oleh itu mereka perlukan lebih banyak saintis data," kata Yasmin.
Beliau berkata buat masa ini momentumnya baik dari segi pelaburan bagi penyedia penyelesaian data di sini dan MDEC ingin memastikan ekosistem di Malaysia terus membangun.
Bagi melakukannya, MDEC akan bekerja sama dengan industri tersebut untuk mewujudkan persekitaran yang sesuai bagi memastikan negara ini mempunyai bakat yang mencukupi, kata beliau.
Menurut laporan, pada 2014, berasaskan pada anggaran permintaan, MDEC menyasarkan untuk memiliki 1,500 saintis data pada 2020.
Namun, angka tersebut kini meningkat kepada 2,000 saintis data dan 16,000 profesional data berikutan peningkatan dari segi kesedaran dan penggunaan.
Ketika ini terdapat 300 saintis di Malaysia termasuk pakar tempatan dan warga asing.
MDEC harap Bajet 2017 bantu pacu ekonomi digital
Sementara itu, MDEC berharap Bajet 2017 akan datang dapat membantu agensi berkenaan memacu ekonomi digital.
Yasmin berkata dua inisiatif, eRezeki dan eUsahawan semakin mendapat perhatian daripada golongan berpendapatan rendah terutamanya suri rumah, pelajar dan belia.
Menurutnya kedua program berkenaan berjaya menyediakan peluang meningkatkan pendapatan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) itu.
Tahun lalu, MDEC menerima peruntukan RM100 juta daripada kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah yang menjalankan perniagaan melalui platform dalam talian.
“Pertama sekali saya berharap impak ekonomi digital kepada rakyat dapat diteruskan dan ini dapat dilakukan melalui eRezeki dan eUsahawan yang telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan tahun ini dan kami berharap ia dapat diteruskan tahun hadapan. Pada masa sama, kita perlu pastikan terdapat fokus kukuh mengenai ekonomi internet,” katanya.
Beliau berkata sebagai agensi bertanggungjawab terhadap pelaksanaan Koridor Raya Multimedia Malaysia, MDEC mensasar untuk berkembang dan berubah untuk berada di hadapan serta memanfaatkan sepenuhnya inovasi digital.
Mengulas mengenai sama ada MDEC akan mendapat peruntukan yang lebih rendah disebabkan pengurangan hasil kerajaan setelah harga minyak jatuh, beliau berkata MDEC akan lebih efisien dan kreatif.
Jelasnya, agensinya akan mengadakan lebih banyak perkongsian dengan syarikat swasta untuk bersama melakukan perubahan dalam ekonomi digital.