Malaysia-IsDB bekerjasama untuk perluas peranan kewangan Islam

Bernama
Julai 24, 2022 04:47 MYT
Tengku Zafrul berkata bidang terbabit meliputi industri halal, teknologi baharu, kewangan sosial, awqaf, kesihatan awam serta alam sekitar. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Malaysia berharap untuk terus bekerjasama dengan negara-negara anggota dan bukan anggota Bank Pembangunan Islam (IsDB) bagi memperluas peranan kewangan Islam dalam bidang-bidang berkaitan.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bidang terbabit meliputi industri halal, teknologi baharu, kewangan sosial, awqaf, kesihatan awam serta alam sekitar.
Beliau turut memuji peranan penting Pusat Kecemerlangan Kuala Lumpur IsDB dalam memberi kemudahan bagi pertukaran pengetahuan serta pengalaman Malaysia dalam kewangan Islam untuk manfaat 57 negara anggotanya.
"Malaysia telah mewujudkan kepimpinan global yang kukuh dalam kewangan Islam dan IsDB memainkan peranan penting dalam mempermudah perkongsian kepakaran kita dengan negara-negara anggotanya.
"Prinsip kewangan Islam secara semula jadinya adalah selaras dengan pertimbangan berkaitan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG). Sehubungan itu, ia berperanan penting dalam memajukan pembangunan mampan," kata beliau dalam kenyataan bersama Kementerian Kewangan (MOF)-IsDB bersempena dengan kunjungan rasmi pertama Presiden dan Pengerusi Kumpulan bank tersebut, Muhammad Al Jasser ke Malaysia.
Dua pemimpin tersebut turut menyentuh aspek kerjasama dalam bidang pendidikan, biasiswa serta hubungan antara kerajaan Malaysia dan IsDB.
Malah, mereka turut bersetuju untuk meningkatkan lagi inisiatif bersama yang sedang dijalankan menerusi Pusat Kecemerlangan terbabit selain menyokong Malaysia dalam bidang keutamaan yang sejajar dengan pelan pembangunan nasional.
Tengku Zafrul dan Muhammad juga membincangkan usaha Pelarasan Semula Strategi IsDB (2022-2025) yang disahkan oleh lembaga gabenornya sebagai dokumen paling responsif dan relevan yang menepati keperluan serta aspirasi negara-negara anggota.
"Malaysia komited untuk bekerjasama dengan bank ini, khususnya dalam tiga teras utama - melonjakkan pemulihan, menangani kemiskinan dan membina daya tahan selain memacu pertumbuhan ekonomi hijau sebagaimana digariskan dalam dokumen strategi itu," kata Tengku Zafrul.
Sementara itu, Muhammad pula menzahirkan penghargaan serta berterima kasih kepada kerajaan Malaysia di atas sokongan berterusan terhadap Kumpulan Pembangunan Islam itu sejak penubuhannya pada 1974.
Beliau turut memuji kerajaan di atas usaha mengagumkan bagi menangani cabaran kesihatan, sosial, ekonomi dan kewangan tidak dijangkakan akibat pandemik COVID-19 menerusi langkah-langkah proaktif kesihatan dan pelaksanaan beberapa program rangsangan yang berkesan.
"Malaysia sekali lagi membuktikan bahawa ekonominya yang berdaya tahan, disokong oleh institusi awam yang kukuh dan sektor swasta yang pelbagai serta cemerlang, mampu bangkit semula daripada antara krisis yang paling mencabar," katanya.
-- BERNAMA
#Tengku Zafrul #kewangan Islam #Malaysia #Bank Pembangunan Islam
;